Manage PermissionsManage Permissions

'Vaping' ditegah di bawah undang-undang



Siaran Akhbar Kementerian Kesihatan


BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 5 November. - Jika seseorang didapati 'vaping' di tempat-tempat awam yang dilarang merokok, boleh dikenakan denda kompaun di bawah Perintah Tembakau 2005 Bab 14(2), iaitu BND300 bagi kesalahan pertama dan BND500 bagi kesalahan kedua dan berikutnya.

Menurut Kementerian Kesihatan, di bawah perintah tembakau, definisi merokok ialah menyedut dan mengeluarkan asap tembakau atau sebarang bahan lain dan termasuk memegang apa jua cerut, rokok, paip, atau apa-apa produk tembakau yang bernyala dan mengeluarkan asap.

Oleh itu, menyedut dan mengeluarkan wap 'habadarie-cigarette' atau 'vape' atau 'vaping' adalah terkandung dalam definisi merokok.

Manakala Perintah Tembakau Bab 6(1) menyatakan bahawa tiada sesiapa pun boleh membawa masuk, menjual atau menawarkan untuk jualan, sebarang konfeksionari atau produk makanan lain, atau apa jua mainan atau barang lain, yang direka bentuk untuk menyerupai suatu produk tembakau atau yang dijual dalam suatu bungkusan yang direka bentuk untuk menyerupai bungkusan yang biasanya dikaitkan dengan produk tembakau.

Oleh itu, pengimportan dan penjualan 'e-cigarette' atau 'vape' di negara ini adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan denda tidak melebihi dari BND5,000 bagi kesalahan pertama dan denda tidak melebihi dari BND10,000 bagi kesalahan kedua dan berikutnya.

Kementerian Kesihatan menasihat dan menyarankan kepada para perokok yang mempunyai masalah untuk membuang atau memberhentikan tabiat merokok untuk mendapatkan perkhidmatan berhenti merokok yang menggunakan kombinasi rawatan yang telah diluluskan seperti khidmat kaunseling dan menggunakan ubat terapi gantian nikotin.

Kombinasi rawatan itu boleh didapati di Klinik Berhenti Merokok di Pusat-Pusat Kesihatan dan Pusat Pergigian Negara.

Para perokok juga boleh memuat turun aplikasi telefon bimbit 'STaR : Sihat Tanpa Rokok' yang merupakan sebuah inisiatif baharu di mana penggunaan aplikasi telefon bimbit digunakan sebagai kaedah utama untuk menyampaikan maklumat-maklumat mengenai bahaya merokok serta bantuan dan langkah-langkah untuk berhenti merokok secara mudah alih (mobile), ia boleh dimuat turun melalui laman sesawang Google Play dan App Store.

Selain itu, orang ramai juga boleh menghubungi talian 'Healthline' 145 untuk mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan berhenti merokok tersebut.

Seterusnya, Kementerian Kesihatan menasihati orang ramai supaya melaporkan sebarang kesalahan Perintah Tembakau 2005 kepada Unit Penguatkuasaan Kesihatan melalui talian Hotline +673 7192005 atau e-mel kepada 'health.enforcement@moh.gov.bn'.

'E-cigarette' atau 'vape' tidak pernah dinilai dan diluluskan oleh mana-mana agensi kawal selia antarabangsa sebagai alat bantuan berhenti merokok dan ia mungkin mengandungi bahan-bahan merbahaya yang boleh menjejaskan kesihatan dan belum terjamin keselamatan penggunaannya.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), belum ada kajian saintifik yang cukup untuk membuktikan keberkesanan 'e-cigarette' atau 'vape' sebagai alat bantuan berhenti merokok.

Pada masa sekarang, tidak ada satu pun 'e-cigarette' atau 'vape' yang berdaftar dan dilesen sebagai alat bantuan berhenti merokok.

Close