Manage PermissionsManage Permissions

Bendera besar megah berkibar di ibu negara



Oleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Hamzah Mohidin


BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 16 Februari. - Rakyat yang bernaung di bawah bumi Brunei Darussalam hendaklah menanamkan semangat patriotik pada bendera negara kerana bendera itu adalah identiti kebangsaan kita.

Sehubungan itu, Upacara Menaikkan Bendera Besar sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-33, 2017 berlangsung di Kawasan Lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di ibu negara, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada upacara tersebut, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman.

Turut hadir, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Ke-33, 2017.

Upacara dimulakan dengan bacaan Surah Al- Fatihah dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dipimpin oleh Imam Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Mudim Awang Haji Matassim bin Haji Metussin.

Seterusnya diikuti dengan penyerahan bendera besar oleh tetamu kehormat kepada anggota Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) yang kemudiannya melaksanakan upacara menaikkan bendera dengan iringan Lagu Kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan' oleh kumpulan koir yang terdiri daripada 39 penuntut lelaki dan 28 penuntut perempuan dari Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar (SMSAB) serta diiringi oleh Pancaragam Pasukan Polis Diraja Brunei.

Majlis tersebut disemarakkan lagi dengan persembahan dua buah lagu patriotik oleh kumpulan koir SMSAB bersama kibaran bendera kecil.

Yang Berhormat Menteri Pendidikan seterusnya menyampaikan bendera-bendera dan poster-poster sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam tahun ini kepada Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim; Pegawai Daerah Belait, Awang Haji Haris bin Othman; Pegawai Daerah Tutong, Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohd. Hussain dan Pegawai Daerah Temburong, Awang Mohd. Amir Hairil bin Haji Mahmud.

Pengibaran bendera merupakan satu simbolik dan platform dalam menzahirkan perasaan cinta serta semangat patriotik kepada raja, negara, bangsa dan agama serta kesatuan dan perpaduan pada mempertahankan kemerdekaan, kedaulatan serta identiti bangsa.

Juga hadir ialah Timbalan-Timbalan Menteri, Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, Pegawai-pegawai Daerah serta wakil-wakil dari jabatan-jabatan kerajaan, swasta, Penghulu-penghulu Mukim dan Ketua-ketua Kampung.

Close