Manage PermissionsManage Permissions

Bendera lambang kedaulatan negara



Oleh : Ampuan Roza Amalyati Ampuan Hussain / Foto : Hernie Suliana Haji Othman
 

TEMBURONG, Khamis, 16 Februari. - Bendera merupakan lambang yang sangat signifikan menandakan kedaulatan, identiti dan jati diri negara dan semua pihak juga diseru agar menjaga darjat dan kemuliaan bendera negara.

Demikian antara yang ditekankan oleh Grand Chamberlain, Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin bin Pengiran Paduka Tuan Pengiran Haji Abu Bakar pada Majlis Pengagihan Bendera Kecil Meja dan Program Semarak Pengibaran Bendera bagi Pelajar-Pelajar Sekolah Rendah, Sekolah Menengah dan Sekolah Arab / Ugama di Dewan Belalong, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar, di sini.

Yang Amat Mulia menambah sabda, kita semua selaku rakyat dan penduduk, dengan kesedaran yang ada hendaklah memainkan peranan sendiri dalam memantuni dan menjaga darjat dan kemuliaan bendera negara kita, iaitu bendera yang dikibarkan hendaklah sempurna sifatnya, tidak pudar warnanya, tidak bubus, carik dan lusuh.

“Selepas acara ini dan selesai saja jangka masa perayaan yang ditetapkan janganlah hendaknya kita melihat bendera-bendera kecil bajurit di sana sini dan bendera besar tidak diturunkan sehingga pudar dan koyak malahan malarat pula tidak diturunkan sehingga perayaan di tahun hadapan,” sabda YAM.

Kerana, sabda YAM, di dalam Bendera Negara Brunei Darussalam terdapat ayat suci yang sewajibnya dimuliakan, dihormati dan tidak disembaranakan dan adalah menjadi kewajiban kita semua untuk menanamkan sifat tanggungjawab, beringat-ingatan di antara kita sendiri, serta menyemai sikap cintakan bendera negara dalam kalangan generasi muda dan dalam masa yang sama memupuk semangat sentiasa cintakan raja, bangsa dan negara.

Terdahulu, Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil, selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kerja Menaikkan / Menurunkan Bendera Besar dan Pengagihan Bendera Kecil Meja dan Program Semarak Pengibaran Bendera menjelaskan, majlis yang diadakan di Daerah Temburong ini merupakan majlis utama yang mana majlis serupa juga diadakan secara serentak di keempat-empat daerah demi menyemarakkan lagi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Ke-33, terutama sekali dalam kalangan pelajar dan masyarakat.

Tahun ini juga merupakan buat pertama kalinya Upacara Pengagihan Bendera Kecil Meja diselajurkan dengan Program Semarak Pengibaran Bendera yang mana pada tahun-tahun sebelumnya diadakan secara berasingan di bawah kelolaan Jabatan Penerangan dan kini program berkenaan dijadikan sebagai salah satu acara utama Sambutan Hari Kebangsaan di bawah penyelenggaraan jawatankuasa tertinggi.

Pada majlis tersebut, YAM turut mengagihkan bendera kecil meja kepada pelajar-pelajar sekolah dan belia-belia Daerah Temburong.
Majlis turut diserikan dengan persembahan nyanyian koir daripada Kumpulan Koir Sekolah Menengah Sultan Hassan Bangar Temburong serta persembahan puisi.

Satu video mengenai Program Semarak Pengibaran Bendera Negara dan Video Animasi Tatacara Pengibaran Bendera Negara terbitan Jabatan Penerangan turut ditayangkan semasa majlis ini. 

Pada akhir acara, Kumpulan Koir Citra Alunan dari Mukim Bangar, pemenang Pertandingan Koir Lagu-Lagu Patriotik Antara Mukim-Mukim Daerah Temburong mempersembahkan nyanyian Lagu Patriotik ‘Bendera Negara’.

Pada tahun ini, sejumlah 10 ribu bendera-bendera kecil meja diagih-agihkan di seluruh negara sebagai usaha menyemai kecintaan dan rasa patriotisme dalam jati diri belia dari akar umbi, di samping bagi memeriahkan lagi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-33 pada tahun ini.

Close