Manage PermissionsManage Permissions

Pemain boling padang WBC dan Panaga jalin kerjasama



Siaran Akhbar dan Foto : Kelab Boling Padang Wisdom



BELAIT, Selasa, 14 Februari. -  Kelab Boling Padang Wisdom (WBC) Negara Brunei Darussalam berusaha memberikan pengalaman baharu buat para pemainnya menerusi pelbagai inisiatif, antaranya menyertai pelbagai kejohanan di peringkat serantau selain berusaha menjalin persahabatan dengan pasukan boling tempatan yang ada di negara ini.

Baru-baru ini, WBC Negara Brunei Darussalam telah mengadakan lawatan ke gelanggang Boling Padang Kelab Panaga di Daerah Belait.

Antara tujuan lawatan tersebut adalah untuk mengadakan perlawanan persahabatan selain menjalin kerjasama untuk sama-sama memajukan dan mengembangkan sukan boling padang di negara ini.

Gelanggang rumput milik Kelab Panaga boleh dikatakan gelanggang terawal yang masih wujud di negara ini dengan mengekalkan keasliannya serta keindahannya yang dibina di tepi pantai.

Rombongan WBC yang diketuai Timbalan Presiden Ke-II, Awang Haji Mohd Taha bin Haji Mohd Tahir disambut Presiden Boling Padang Kelab Panaga, Neil Lynch yang seterusnya memberikan penerangan mengenai boling padang di Kelab Panaga.

Pada kesempatan itu juga, WBC mengadakan perlawanan persahabatan menentang Neil Lynch asal Republik Ireland yang bergandingan dengan rakan sepasukannya dari Australia, Damian Brady.

Para pemain WBC yang lain juga mengambil peluang untuk merasai sendiri bermain di atas gelanggang rumput yang dilihat sangat unik dan berada pada tahap kondisi yang sangat baik.

Dalam pada itu, Presiden WBC, Awang Haji Johari Achee mendedahkan bahawa lawatan yang diadakan tersebut adalah sebagai menjalin hubungan muhibah antara kedua-dua buah kelab.

Di samping itu juga, beliau berharap ia akan menjadi pembuka jalan kepada kerjasama yang lebih erat antara kedua-dua pihak selain mempunyai rangkaian multinasional. Kerjasama di antara kedua-dua buah kelab ini akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa untuk kemajuan sukan boling padang di tanah air.

Close