Manage PermissionsManage Permissions

Rakyat diseru dukung usaha kerajaan



Laporan : Nooratini Haji Abas / Foto: Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman, Muhammad Asri Haji Awang Abas


LOGO MMN 2016BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 20 Mac. - Semua rakyat dan penduduk di negara ini diseru supaya terus mendukung serta menyambut baik akan usaha-usaha juga inisiatif-inisiatif yang telah dan akan dilaksanakan oleh pihak kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim menyeru demikian semasa membentangkan Ucapan Menggulung Perbahasan pada sesi penutup Persidangan Majlis Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-13 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Tahun 1438 Hijrah bersamaan 2017 Masihi di Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Justeru itu, jelas Yang Berhormat, kita perlu bergerak dan bertindak dalam satu barisan yang bersepadu, berkayuh ke destinasi yang sama, selaras dengan pendekatan 'whole of nation approach' agar kesejahteraan yang kita nikmati itu akan dapat terus terpelihara dan berkekalan kepada generasi yang akan datang.

Dengan tekad dan azam yang jitu tambahnya serta dengan izin Allah Subhanahu Wata'ala, kita bukan sahaja akan dapat mengharungi cabaran masa kini dengan jayanya, malah akan dapat mewujudkan satu masyarakat perkasa yang dinamik, 'resilient', kukuh dan harmoni, dengan semua usaha yang dirancang.

''Alhamdulilah, disepanjang persidangan ini, beberapa cadangan membina dan bernilai tambah juga telah dibawa ke dalam perbincangan dewan ini.

Ini termasuklah cadangan dan saranan yang boleh membantu usaha-usaha kerajaan untuk mengembangmajukan lagi sektor swasta dalam menjana aktiviti ekonomi di negara ini dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan bagi anak-anak tempatan,'' ujarnya.

Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan II (Kedua) juga tertarik dengan cadangan-cadangan mengenai bagaimana NGOs serta para belia boleh melibatkan diri dan seterusnya memberikan sokongan juga menghulurkan sumbangan secara sukarela.

''Apa jua saranan dan maklum balas daripada Ahli-Ahli Yang Berhormat amatlah kaola hargai dan ia, InsyaaAllah akan dijadikan sebagai nilai tambah dan 'input' dalam sebarang penelitian dasar dan strategi yang akan dilaksanakan oleh pihak kerajaan, khususnya di JPM dan Kementerian Kewangan berasaskan keutamaan dan keperluan,'' menurutnya lagi.

Namun demikian, Yang Berhormat menjelaskan, di mana terdapat juga isu-isu yang ditimbulkan tidak berasaskan pada data dan fakta yang betul serta 'up-to-date'.

Oleh itu, Yang Berhormat berpendapat agar ia perlu diambil perhatian sewajarnya bagi mengelakkan kekeliruan, bukan sahaja kepada orang ramai, tetapi juga kepada pengusaha-pengusaha dan pelabur-pelabur asing yang berminat untuk melabur di negara ini.

''Malahan terdapat juga saranan-saranan yang ditimbulkan di dalam dewan ini nampaknya dibawakan tanpa sebarang kajian yang secukupnya mengenai punca berlakunya isu berkenaan dan kesan yang mungkin timbul jika saranan tersebut dilaksanakan,'' jelasnya.

Menurutnya, jika tidak dikawal dikhuatiri perkara itu boleh membantutkan usaha kerajaan untuk menarik pelabur asing dan menjejaskan keharmonian masyarakat serta kewibawaan dewan berkenaan.

Close