Manage PermissionsManage Permissions

Meriahkan perasmian Jambatan Sungai Kebun



Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Masri Osman



BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 12 Oktober. - Acara Perasmian Jambatan Sungai Kebun, Perarakan Kapal-Kapal dan Perahu-Perahu Berhias dan Pertunjukan Bunga Api bersempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Menaiki Takhta akan diadakan pada Sabtu ini, 14 Oktober berhadapan Tarindak D'Seni, Jalan Residency, di ibu negara bermula pada pukul 7.30 malam.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan berangkat menyempurnakan perasmian jambatan baharu tersebut, diiringi oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam. Juga dijangka berangkat ke acara perasmian tersebut ialah kerabat diraja yang lain.

Perkara tersebut diumumkan oleh Setiausaha Tetap (Teknikal & Profesional), Kementerian Pembangunan, Awang Haji Marzuki bin Haji Mohsin pada Sidang Media di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan.

Turut hadir pada Sidang Media berkenaan selaku Pengerusi Bersama ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin dan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Yusof; serta Ahli-ahli Jawatankuasa Sektoral Keraian dan Acara-Acara Daerah dan Mukim; dan Jawatankuasa Sektoral Perasmian dan Peringatan Kenang-Kenangan Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Menaiki Takhta.

Awang Haji Marzuki juga menambah, orang ramai adalah dialu-alukan untuk menghadiri acara perasmian berkenaan yang sudah setentunya akan menjadi peristiwa bersejarah bagi negara ini.

Bagi kemudahan para pengunjung, beliau menjelaskan bahawa sebanyak 2,000 hingga 3,000 petak bagi meletakkan kenderaan disediakan di kawasan ibu negara. Kesemua kawasan tersebut di bawah Pengurusan Jabatan Bandaran serta persendirian termasuk di Bangunan PGGMB dan Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah akan dibukakan secara percuma bagi orang ramai bermula jam 5.00 petang pada hari berkenaan.

Beliau juga menasihatkan orang ramai agar menjauhi beberapa kawasan berhampiran Jambatan Sungai Kebun yang akan digunakan bagi pelancaran bunga api dan tapak di mana kerja pembinaan masih dijalankan berhampiran Sungai Kianggeh.

Sementara itu, Dr. Awang Haji Abdul Manaf berkata, pengunjung dapat menyaksikan perarakan dan persembahan bunga api di beberapa tempat yang telah dikenal pasti seperti eko-koridor yang akan dibukakan sementara untuk acara berkenaan dan sepanjang kawasan Dermaga Diraja (Waterfront) bagi mengurangkan kesesakan di sepanjang Jalan Residency.

"Perarakan kapal-kapal dan perahu berhias bermula di Kampung Tamoi Ujong, melintasi Dermaga Diraja dan seterusnya Jalan Residency serta dijangka akan berjalan selama 45 minit," katanya.

Awang Abdul Mutalib turut menyatakan bahawa Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien akan dibukakan bagi kunjungan orang ramai dan kemudahan lain akan disediakan termasuk permainan ‘bouncer’ untuk kanak-kanak dan gerai-gerai jualan.

Manakala jalan-jalan di ibu negara akan dibuka seperti biasa dan orang ramai dialu-alukan untuk meletakkan kereta di bahu-bahu jalan asalkan tidak menjejaskan laluan umum atau laluan kecemasan.

Dalam pada itu, beliau menyeru semua lapisan rakyat dan masyarakat bagi sama-sama menghargai keindahan, kebersihan dan kesejahteraan harta benda di tempat awam, bukan sahaja pada waktu perayaan, malahan pada setiap masa.

Acara perasmian tersebut juga akan diserikan dengan beberapa persembahan nyanyian sewaktu perarakan berlangsung yang diiringi persembahan daripada Kumpulan Senandung Budaya, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan gabungan Orkestra Radio Televisyen Brunei (RTB).

"Mereka akan mengalu-alukan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri serta kerabat diraja yang lain," jelas Setiausaha Tetap di KKBS, Datin Paduka Dr. Dayang Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil.

Menyentuh mengenai isu-isu keselamatan semasa acara tersebut, Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri, Awang Haji Kamaluddin bin Haji Bungsu berkata, Jawatankuasa Sektoral Perubatan, Kecemasan dan Keselamatan telah mengambil langkah-langkah berwaspada bagi memastikan tahap kesiapsiagaan bertindak dan bertugas dalam mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini dari berlaku.

Beliau meminta kerjasama daripada orang ramai dan para pengunjung supaya mematuhi arahan dan panduan yang diberikan oleh para petugas keselamatan setempat.

Menurutnya, kawasan di Jabatan Sungai Kebun akan ditutup buat sementara waktu untuk menempatkan alat-alat permainan bunga api dan akan dibuka semula sebaik saja selesai kerja-kerja pembersihan dijalankan.

"Sebuah kapal akan digunakan untuk persembahan bunga api berhampiran jambatan berkenaan. Orang ramai diharap supaya tidak menghampiri kawasan berkenaan pada jarak 250 meter sepanjang persembahan bunga api dijalankan," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai yang berhasrat untuk menyaksikan perarakan dari rumah-rumah di Kampong Ayer dan jambatan supaya tidak bertumpu di satu tempat untuk mengelakkan keruntuhan.

Selain itu, katanya, para pengguna perahu juga dinasihati supaya tidak menghampiri dan menghalang laluan kapal-kapal dan perahu-perahu berhias semasa perarakan dijalankan.

Beliau juga menekankan agar para ibu bapa dan penjaga untuk mengambil langkah keselamatan dengan menjaga anak-anak mereka bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Close