Manage PermissionsManage Permissions

Muzium Daerah Belait simpan pelbagai sejarah warisan



Oleh : Noraisah Haji Muhammed / Foto : Noraisah Haji Muhammed, Ihsan Jabatan Muzium



KUALA BELAIT, Ahad, 10 September. - Program 'Berduyun-duyun ke Muzium Daerah Belait' anjuran Jabatan Muzium-Muzium, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan diungkayahkan oleh Bru'elture terus mendapat sambutan orang ramai sejak hari pertama ia dibukakan.

Menerusi temu bual Pelita Brunei bersama Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Muzium-Muzium Brunei, Dayang Mariani binti Haji Abu Bakar menjelaskan, walaupun program tersebut diungkayahkan dalam jangka pendek, namun usaha tersebut berjaya dijalankan dengan sempurna.

Antara permainan yang mendapat sambutan menggalakkan ialah Permainan Pasang, iaitu salah satu permainan tradisional yang popular beberapa waktu dahulu, di samping catur, dam dan congkak.

Dalam temu bual Pelita Brunei dengan beberapa pengunjung dan peniaga, iaitu Lydia Tadam, 38 bersama dua orang anaknya Jonas Elvin,8 dan Jollyin Elvin, 4, melahirkan rasa teruja kerana, di samping berniaga beliau juga berkesempatan menyaksikan pameran-pameran di muzium berkenaan dan mengikuti beberapa permainan tradisional yang diketengahkan.

''Usaha Jabatan Muzium ini sangat bagus, melalui program seumpamanya saya dan anak-anak mendapat pengetahuan mengenai warisan budaya, sejarah pentadbiran dan perkembangan Daerah Belait juga sejarah industri minyak dan gas, tentang warisan alam semulajadi serta bermacam lagi,'' jelasnya.

Dengan kunjungan orang ramai dan murid-murid sekolah yang menjalani hari terakhir musim cuti sekolah ke muzium berkenaan berkesempatan menambah ilmu pengetahuan, di samping menghargai kesan sejarah yang ada.

Muzium bekas kediaman rasmi Penolong Residen British dan kemudian Pegawai Daerah Belait di antara tahun 1938 hingga 1990, bertujuan untuk melindungi serta memelihara warisan Daerah Belait bermatlamatkan Pendidikan juga dihasrat mampu merangsang minat dan rasa cinta warisan negara.

Bangunan Muzium yang dibina pada tahun 1938 berjaya menarik perhatian orang ramai yang berhasrat meneroka sejarah Daerah Belait dan mendalami permainan tradisional yang dipamerkan.

Close