Manage PermissionsManage Permissions

MPK Seria anjur majlis bersungkai



Berita dan Foto : Noraisah Muhammed


SERIA, Jumaat, 9 Jun. - Sempena bulan Ramadan ini, kebajikan anak-anak yatim, ibu tunggal dan fakir miskin di negara ini terus mendapat pemedulian daripada pelbagai pihak yang bermurah hati menghulurkan sumbangan derma agar mereka dapat sama-sama bergembira bersungkai bersama di bulan Ramadan dan akan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang.
 
Sehubungan itu, Biro Ugama Majlis Perundingan Kampung Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) Lorong 3 Selatan Seria hari ini menganjurkan Majlis Bersungkai Bersama Anak-Anak Yatim, Ibu-Ibu Tunggal dan Orang Fakir yang tinggal dan bermastautin di sekitar Pekan dan Mukim Seria yang berlangsung di Hotel Koperasi BHD Seria.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Balad oleh Awang Abdul Mafuuz bin Buhari.

Ketua Kampung STKRJ Lorong 3 Selatan Seria, Awang Haji Saidin bin Haji Ibrahim dalam ucapan alu-aluannya berkata, majlis tersebut merupakan projek yang akan dijadikan kegiatan tahunan dan akan dilaratkan untuk Projek 'Back To School' bagi membantu anak-anak yang perlu bantuan alat-alat asas persekolahan.

Menerusi temu bual Pelita Brunei bersama pengerusi majlis, Awang Mohammad bin Haji Matali berkata, ia merupakan rancangan pertama kali yang diungkayahkan oleh MPK STKRJ Lorong 3 Selatan Seria.

Katanya, alhamdulillah dengan kerjasama padu daripada ahli-ahli MPK semua kerja telah berjalan dengan lancar dan teratur.

Majlis tersebut dianjurkan atas rasa prihatin terhadap mereka yang kurang mampu untuk berasa dihargai dan dan sama-sama merasa kegembiraan bersungkai bersama di bulan Ramadan dan berasa gembira dan bahagia bakal menyambut Aidilfitri nanti.
 
Ia juga turut diselajurkan dengan penyampaian sumbangan daripada 10 penaja kepada seramai 33 anak yatim, 12 ibu tunggal dan 15 fakir miskin yang diserahkan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin, Penghulu Mukim Liang selaku tetamu kehormat majlis.

Close