Manage PermissionsManage Permissions

Peserta PMB kunjungi Darulifta Brunei Darussalam



Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman


BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 11 Mei. -  Seramai 24 ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) dan penduduk Kampung Perpindahan Mata-Mata, Mukim Gadong 'B' yang menyertai Program Masyarakat Bermaklumat (PMB) hari ini mengadakan lawatan ke Darulifta Brunei Darussalam, Jabatan Mufti Kerajaan, di sini.

Rombongan lawatan diketuai oleh Ketua Kampung Perpindahan Mata-Mata, Mukim Gadong 'B', Pengiran Haji Md. Salleh bin Pengiran Haji Abd. Rahman.

Sejurus ketibaan, rombongan dibawa melawat ke Balai Pameran Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BPIS) dan Galeri-galeri Mushaf, Pedang, Koleksi Tongkat dan Tasbih serta Manuskrip.

Balai Pameran Mushaf mempamerkan koleksi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seperti Mushaf Al-Quran yang mengandungi mushaf tulisan tangan dan bercetak dalam pelbagai tulisan seperti Naskh, Kufi, Thuluth, Parsi dan Jawi hampir mencecah 1,000 tahun lamanya.

Sementara Galeri Pameran Tongkat dan Tasbih mempamerkan lebih 200 jenis tongkat dan 60 jenis tasbih koleksi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan keunikan dan kehebatan buatannya seperti kayu, rotan dan tulang ikan dengan sebahagiannya disaluti dengan batu permata, kulit kerang dan logam tembaga, di samping ukiran kesenian Islam.

Galeri Pameran Manuskrip pula mempamerkan lebih 700 naskhah Manuskrip Islam yang mempunyai pelbagai bentuk dan saiz dengan bermotifkan tumbuh-tumbuhan dan kaligrafi kesenian Islam sebagai hiasan dalam dan kulitnya.

Lawatan tersebut bertujuan untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan membarigakan perkembangan serta usaha-usaha kerajaan dalam meningkatkan antara lainnya taraf hidup rakyat seperti melalui aktiviti keusahawanan, taklimat-taklimat serta lawatan-lawatan.

Selain untuk mengukuhkan jati diri dan menyuntik semangat dalam terus memberikan kerjasama dalam mendokong aspirasi negara.

Menerusi program tersebut juga diharap dapat mengukuhkan lagi jati diri dan menyuntik semangat dalam terus memberikan kerjasama dalam mendukung aspirasi negara.
Close