Manage PermissionsManage Permissions

36 keluarga terima sumbangan barangan asasi



Berita dan Foto : Noraisah Muhammed


LUMUT, 3 Mei, Rabu. - Seramai 36 buah keluarga telah menerima barangan asasi dan barangan makanan lainnya mengikut keperluan sesebuah keluarga dan mereka merupakan penduduk dari Kampung Lumut I dan Kampung Lumut II, hasil daripada pemilihan kriteria dan perundingan AJK Kerja Majlis dengan bantuan Ketua Kampung Lumut I dan II.

Majlis tersebut diungkayahkan bagi menyampaikan barang asasi dan barang makanan kepada keluarga yang memerlukan dan program tersebut bermula pada bulan Mac lalu dengan mengalu-alukan orang ramai untuk menyumbang serba sedikit barangan berupa makanan untuk didermakan kepada keluarga yang dikenal pasti amat memerlukannya dalam menjalani kehidupan seharian.

Dalam kata-kata aluan Iman Masjid Zainab, Haji Aminordin bin Haji Mohd. Yussof berkata pihak masjid telah menerima sumbangan hampir setiap hari walaupun tarikh untuk menerima sumbangan sudah ditutup dan sambutan daripada orang ramai adalah sangat mengalakkan selama tempoh program dijalankan.

Pelita Brunei menemu bual Imam Masjid Zainab dan beliau berkata, “selain mengimarahkan masjid, tujuan pengagihan adalah untuk membantu keluarga daif dalam mendapatkan barang-barang asasi dan membuka peluang kepada orang ramai untuk bersedekah dan menginfakkan harta mereka ke jalan Allah.”

“Program pengagihan ini akan dijadikan sebagai projek tahunan takmir dan selepas program ini, pihak masjid akan membukakan kutipan atau sumbangan untuk membantu anak-anak sekolah dalam mendapatkan barang-barang persekolahan,” tambah beliau.

Beliau juga menyentuh mengenai fadilat sedekah yang mempunyai ganjaran amat besar kerana orang yang bersedekah telah dijanjikan akan mendapat pulangan yang bertambah dan menjadikan mereka orang-orang yang bersyukur selain mengukuhkan ikatan ukhwah antara orang kaya dan miskin agar terjalin erat serta mendapat pahala yang berlipat ganda.

Ceramah bertajuk ‘Bersabar Dalam Menghadapi Ujian dan Bersyukur Dengan Apa Yang Telah Dikurniakan’ telah disampaikan oleh Penceramah Undangan dari Pusat Da’wah Islamiah, Ustaz Mohd. Yusri bin Abdul Malik, antara lain menyentuh mengenai bersyukur dan redha dengan ujian Allah.

Salah seorang warga emas penerima sumbangan tersebut, Dayang Hajah Basiah binti Lasim, melahirkan rasa penghargaan dan terima kasih kepada pihak penganjur dan penderma yang bermurah hari sambil berkata “berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.”

Program tersebut akan diadakan pada masa-masa akan datang dan akan dijadikan projek takmir pada setiap tahun dan program itu juga dihasratkan agar setiap keluarga yang memerlukan akan dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik selain memberi peluang kepada orang ramai untuk bersedekah dan menginfakkan harta mereka ke jalan Allah dan menjadikan masjid bukan sahaja menjadi tempat ibadah semata-mata, bahkan juga sebagai pusat pembangunan masyarakat dalam menjalin hubungan kemasyarakatan yang bertambah erat dan akan menjadikan Kampung Lumut menjadi sebuah kampung yang diberkati dan dirahmati Allah.

Hadir sama pada program tersebut Ketua Kampung Lumut II, Haji Abdul Rahman bin Hashim yang juga menyampaikan sumbangan kepada 36 orang penerima.
Close