Manage PermissionsManage Permissions

173 kes baharu COVID-19 disahkan



‚ÄčOleh :  Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas






  • Terdapat 83 tambahan kes-kes baharu kepada 13 kluster aktif yang sedia ada pada hari ini yang merupakan kontak-kontak terdekat kepada beberapa kes positif sebelumnya.




  • Pada ketika ini terdapat 1,630 kes positif sedang ditempatkan di pusat-pusat pengasingan di seluruh negara yang mana 43.6 peratus daripadanya adalah warganegara tempatan dan 56.4 peratus adalah warganegara asing.









BERAKAS, Selasa, 19 Oktober. - Jumlah keseluruhan kes COVID-19 meningkat kepada 11,220 orang, hari ini berikutan dengan penambahan sebanyak 173 kes baharu jangkitan COVID-19 yang telah disahkan di negara ini.



Terdapat 83 tambahan kes-kes baharu kepada 13 kluster aktif yang sedia ada pada hari ini yang merupakan kontak-kontak terdekat kepada beberapa kes positif sebelumnya.



Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Md. Isham bin Haji Jaafar semasa mengongsikan kenyataannya pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam (NBD), bertempat di Dewan Al-'Afiah, Kementerian Kesihatan, menjelaskan, terdapat dua kluster baharu telah dikesan yang melibatkan 19 kes.



Kluster-kluster baharu ini jelas Yang Berhormat adalah kluster rumah kediaman di mana salah satu daripadanya ialah Kluster HHY Construction yang merupakan rumah yang menempatkan pekerja-pekerja syarikat berkenaan.



Menurut Yang Berhormat, lima kluster pula telah ditutup setelah tidak ada kes dikesan di dalam kluster berkenaaan selama 28 hari. Kluster-kluster yang ditutup ialah ialah Kluster Champion 7 - Platform, Kluster 3340, Kluster 3395, Kluster 3733 dan Kluster 4944. Oleh demikian, jumlah kluster yang aktif adalah 166 kluster.



Selain itu tambah Yang Berhormat, terdapat dua kes import yang dicatatkan iaitu dua kes yang tiba ke Negara Brunei Darussalam daripada Manila dengan menaiki Penerbangan Diraja Brunei Bl684 pada 13 Oktober 2021. Dalam pada itu, terdapat 69 kes baru yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.



"179 kes telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh di Negara Brunei Darussalam kepada 8,421 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 2,721 kes.




"Di kalangan kes-kes yang sedang ada dalam rawatan sekarang, enam kes adalah dalam Kategori 5 dan sedang dirawat di Unit Rawatan Intensif. Kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) dengan dua daripadanya juga memerlukan bantuan mesin tambahan Heart / Lung Machine (ECMO). Sementara itu, 21 kes lain dikategorikan dalam Kategori 4 iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan adalah di bawah pemantauan rapi," ujar Yang Berhormat Menteri Kesihatan.



Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 6,254 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 451,179 ujian.




Yang Berhormat juga mengongsikan, pada ketika ini terdapat 1,630 kes positif sedang ditempatkan di pusat-pusat pengasingan di seluruh negara yang mana 43.6 peratus daripadanya adalah warganegara tempatan dan 56.4 peratus adalah warganegara asing.



"Bersempena dengan hari yang mulia ini, marilah kita sama-sama membanyakkan selawat dan berdoa semoga apa jua yang 'kitani' usahakan untuk mengawal penularan wabak COVID-19 di negara ini akan mendapat keberkatan daripada Allah Subhanahu Wata'ala jua dan semoga kita semua sentiasa terlindung dari kemudaratan wabak COVID-19. Allahumma Solli Ala Sayidina Muhammad, Wa'ala alihi Wasahbihi Wasallim, Aamin Aamin Ya Rabbal Alamin," ujar Yang Berhormat.


Close