Manage PermissionsManage Permissions

Aplikasi ‘Mengalinga’ bantu sukarelawan aktif



​Siaran Akhbar dan Foto : Bank Baiduri




•    Mengalinga, sebuah platform aplikasi mudah alih tempatan untuk sukarelawan bagi mengambil bahagian dalam acara yang dianjurkan oleh syarikat, organisasi kerajaan dan bukan kerajaan (NGO) dan untuk penganjur memanggil sukarelawan untuk acara mereka.



•    Aplikasi ini adalah hasil kerjasama bank dengan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) yang ditandatangani semasa upacara menandatangani Memorandum Persefahaman pada April 2021 yang lalu.







BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 8 Ogos. - Dengan misi untuk memperkaya, memperkasa dan melibatkan masyarakat dengan cara yang bertanggungjawab dan berkelanjutan, Bank Baiduri telah mendukung sejumlah inisiatif di negara ini melalui pelbagai cara, baik melalui penajaan atau melalui sukarelawan atau gabungan keduanya.



Pada hari ini menandakan satu lagi tonggak Tanggungjawab Sosial Korporat bagi Bank Baiduri atas pelancaran Mengalinga, sebuah platform aplikasi mudah alih tempatan untuk sukarelawan bagi mengambil bahagian dalam acara yang dianjurkan oleh syarikat, organisasi kerajaan dan bukan kerajaan (NGO) dan untuk penganjur memanggil sukarelawan untuk acara mereka.



Aplikasi ini adalah hasil kerjasama bank dengan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) yang ditandatangani semasa upacara menandatangani Memorandum Persefahaman pada April 2021 yang lalu.



Aplikasi Mengalinga dilancarkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-16 di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.



Turut hadir ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.



Semasa pelancaran aplikasi tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui berkata, "Kami amat berbesar hati dapat menyokong pembangunan aplikasi sebagai Rakan Kongsi Strategik. Kerjasama dengan KKBS telah berjalan sejak November tahun lalu. Kami sangat gembira melihat aplikasi ini membuahkan hasil pada acara istimewa ini”.



Beliau juga mengatakan, "Aplikasi ini dikembangkan melalui penglibatan sektor kerajaan, sektor swasta, institusi pendidikan dan ‘local developer’. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada KKBS kerana berkesempatan menjadi rakan kongsi dalam majlis penting ini, dan juga kepada Nextacloud kerana menjadikan aplikasi ini jadi kenyataan serta Universiti Teknologi Brunei atas ‘input’ berharga mereka dalam konsep awal fasa penciptaan”.



Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Perniagaan), Pengiran Azaleen bin Pengiran Dato Haji Mustapha dan Timbalan CEO (Pematuhan, Tadbir Urus Korporat dan Penasihat Undang-Undang), Manuel Bulens. Mengalinga kini tersedia untuk dimuat turun dari Google Play dan akan tersedia di App Store.

Close