Manage PermissionsManage Permissions

UBD terima koleksi Lukisan Cina Kuno



​Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Brunei Darussalam

 





BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 12 Disember. - Hengyi Industries Sdn. Bhd. (Hengyi) bagi pihak Universiti Zhejiang menyumbangkan koleksi Lukisan Cina Kuno kepada Universiti Brunei Darussalam (UBD) hari ini.

 

Semasa upacara penyerahan tersebut, Pengerusi Zhejiang Hengyi Group Co. Ltd., Hengyi dan Pengarah Lembaga Universiti China Zhejiang, Mr. Qiu Jianlin menyerahkan koleksi tersebut kepada Naib Canselor UBD, Datin Dr. Dayang Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz.

 

Koleksi komprehensif Lukisan Cina Kuno adalah projek kebudayaan nasional berskala besar yang disusun bersama dan diterbitkan oleh Universiti Zhejiang dan Pentadbiran Warisan Budaya Provinsi Zhejiang.

 

Koleksi tersebut dihasrat dapat memberi peluang kepada para akademik dan pelajar UBD untuk mengamati dan menghayati seni, sejarah dan budaya tradisional Cina, di samping dapat berfungsi sebagai sumber berharga bagi penyelidik yang mempelajari seni kuno di universiti.

 

Setelah majlis penyampaian buku, Mr. Qiu Jianlin berkesempatan mengunjungi Faculty of Integrated Technologies (FIT) UBD serta Centre for Advanced Materials and Energy Sciences (CAMES).

 

UBD mengadakan kerjasama bersama tiga pihak universiti dan industri bersama Hengyi dan Universiti Zhejiang di Hangzhou (China) dalam program Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Proses dan Kimia).

 

Pada tahun 2014, Hengyi menubuhkan Program Biasiswa Kejuruteraan Proses dan Kimia bersama UBD dan Universiti Zhejiang. Di bawah program ini, pelajar UBD dianugerahkan biasiswa untuk melanjutkan pengajian akademik mereka di Universiti Zhejiang. Program tersebut sebahagian daripada komitmen Hengyi untuk menyokong pengembangan kapasiti tempatan di negara ini.

 

Di samping itu, memberi peluang kepada para sarjana untuk bekerja dengan Hengyi setelah menamatkan program ini. Ia juga merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat jangka panjang syarikat untuk mewujudkan lebih banyak pekerjaan langsung di Negara Brunei Darussalam dalam menyokong arahan 'Bruneianisation Directive' untuk memaksimumkan peluang pekerjaan bagi orang Brunei dalam Industri Minyak dan Gas.

 

Pada tahun 2020, Hengyi memberikan biasiswa kepada 23 lagi pelajar untuk kumpulan ke-7 sarjana di bawah program berkenaan. Program juga menunjukkan hasil yang baik dalam mewujudkan peluang pekerjaan, di mana seramai 68 pelajar menamatkan program biasiswa tersebut bergabung dengan kumpulan tenaga kerja Hengyi.

 

Setelah memasuki World University Rankings 2020 Times Higher Education (THE) untuk pertama kalinya pada tahun lalu, UBD kini meningkat menjadi kumpulan 351 dari 400 tahun ini. UBD juga telah menunjukkan peningkatan yang stabil di Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings, di mana ia kini berada di kedudukan 254, tempat 44 tempat dari tahun lalu, iaitu 298.

 

UBD juga kini berada di kedudukan ke-75 dalam QS Asia University Ranking dan menduduki tempat pertama di antara universiti Asia dalam pergerakan keluar pelajar berturut-turut selama enam tahun.

 


Close