Manage PermissionsManage Permissions

Bukit Perumpong sasaran Projek Penghutanan Semula



​Siaran Akhbar dan Foto : Hengyi Industries Sendirian Berhad

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 6 November. - Sebagai sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Hengyi Industries Sendirian Berhad (Hengyi) untuk membantu melindungi persekitaran semula jadi Negara Brunei Darussalam (NBD) dan meningkatkan penyerapan karbon secara keseluruhan di negara ini, Hengyi mengungkayahkan Projek Penghutanan Semula di Bukit Perumpong, Hutan Simpan Arboretum, Sungai Liang.

 

Sebanyak 500 pokok berjaya ditanam di kawasan seluas 0.5 hektar itu, yang diusahakan oleh lebih daripada 70 sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan Hengyi dan wakil dari Jabatan Perhutanan, Autoriti Petroleum, Damai Holdings Limited dan Sekretariat Perubahan Iklim Brunei (BCCS).

 

Anak pokok yang ditanam merangkumi pelbagai jenis spesies pokok tempatan, iaitu Kapur Paji, Selangan Daun Tebal, Binchaloi, Meranti Timbul Putih, Kapur Bukit, Sarang Punai Bukit dan Sarang Punai.

 

Disebabkan tanah di Bukit Perumpong diketahui berpasir, anak pokok yang ditanam akan mempunyai kadar kelangsungan hidup yang lebih tinggi kerana batu pasir dan tanah berpasir sememangnya menjadi habitat tanaman tersebut.

 

Kelebihan pokok-pokok tempatan ini adalah ia membantu mengurangkan kejadian hakisan tanah, meningkatkan biodiversiti di kawasan berkenaan, sekali gus menawarkan tujuan pendidikan bagi Dipterocarpaceae Family.

 

Jabatan Perhutanan telah memilih lokasi khusus ini untuk Projek Penghutanan Semula Ke-4 kerana kawasan tersebut telah terjejas teruk oleh kebakaran hutan dan ini menjadi permulaan yang baik untuk menghidupkan semula keadaan hutan yang terjejas teruk di Bukit Perumpong, di samping untuk mengurangkan kesan perubahan iklim serta untuk menyokong Strategi Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan Brunei Darussalam kedua, iaitu Forest Cover.

 

Hengyi melancarkan Projek Penghutanan Semula pada tahun 2019 dengan janji tanpa kompromi untuk menanam pokok seluas 200 hektar untuk menyokong komitmen NBD di bawah Konvensyen mengenai Kepelbagaian Biologi (CBD), dan Perjanjian Paris dan Rangka Kerja Konvensyen Perubahan Iklim (UNFCCC) PBB melalui Program Pengurangan Pelepasan dari Penebangan Hutan dan Kerosakan Hutan (REDD+).

 


Close