Manage PermissionsManage Permissions

7 warga tempatan dikenakan Perintah Tahanan



​Siaran Akhbar : Jabatan Keselamatan Dalam Negeri


 

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 15 September. - Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa berusaha secara berterusan untuk memastikan Negara Brunei Darussalam (NBD) bebas daripada sebarang ancaman yang boleh menggugat keamanan, keharmonian dan keselamatan negara.

 

Sehubungan ini, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN) telah mengenakan Perintah Tahanan di bawah Bab 3(1)(a) Akta Keselamatan Dalam Negeri Penggal 133, atas tujuh orang, warga tempatan, atas penglibatan mereka dalam sindiket pemalsuan kad pengenalan pintar NBD.

 

JKDN dengan bantuan beberapa agensi keselamatan dan penguatkuasaan yang lain telah berjaya menumpaskan satu sindiket jenayah terancang yang telah terbukti menjalankan kegiatan membuat dan memalsukan kad pengenalan pintar NBD.

 

Sindiket ini merancang untuk menggunakan kad-kad pengenalan pintar yang palsu tersebut untuk tujuan penipuan dan turut merancang untuk menjualnya dengan harga BND5,000 sekeping kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.

 

Sindiket ini juga telah turut memalsukan dokumen-dokumen Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta dokumen-dokumen rasmi beberapa buah syarikat swasta, termasuk Government-Linked Companies (GLCs) di negara ini, dengan tujuan untuk menjana kewangan secara tidak sah dan tidak jujur melalui skim-skim pinjaman di beberapa buah institusi kewangan, di NBD.

 

Sindiket ini diketuai oleh Awang Fahezzrul bin Tuah, seorang lelaki, warga tempatan, berumur 27 tahun, yang menjadi dalang dan perancang utama di dalam sindiket ini. Beliau telah dibantu oleh enam ahli sindiket lainnya, iaitu Awang Muhd. Faiz Asma'an bin Haji Abd. Rahman, 27 tahun; Awang Mohd. Zaim bin Saufi, 29 tahun; Awang Mohd. Aminul Rashid bin Aminuddin, 27 tahun; Awangku Abd' Haadi Putera bin Pengiran Mahari, 26 tahun; Awang Rainney bin Lius, 26 tahun; dan Awang Muhd. Faiz bin Shadun, 28 tahun.

 

Kesemua anggota sindiket ini telah dikenakan Perintah Tahanan di bawah Bab 3(1)(a) Akta Keselamatan Dalam Negeri, Penggal 133, berdasarkan kepada bukti-bukti dan keseriusan kesalahan-kesalahan yang telah mereka lakukan.

 

JKDN juga menilai kegiatan mereka ini jika tidak dibendung dari awal boleh mendatangkan ancaman yang lebih besar kepada keselamatan dan ketenteraman NBD, di mana kegiatan pemalsuan kad pengenalan ini boleh melarat kepada kegiatan pembekalan identiti-identiti palsu kepada anasir-anasir jahat, di mana akan membolehkan mereka bertapak di negara ini, seterusnya menjalankan kegiatan-kegiatan yang bertentangan dengan undang-undang negara.

 

JKDN ingin mengingatkan dan menyeru orang ramai, khususnya belia-belia supaya sentiasa berwaspada dan menggunakan ilmu pengetahuan juga kebolehan yang ada untuk kegiatan-kegiatan yang sihat dan bermanfaat juga sentiasa memberikan kerjasama kepada pihak kerajaan dalam sama-sama menjaga keamanan dan kestabilan negara.

 

Orang ramai bolehlah menyalurkan apa jua maklumat, berhubung isu-isu yang dinilai yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam di negara ini, dengan menghubungi Hotline JKDN menerusi talian 133 atau e-mel 'isd133@kdn.gov.bn'.




Close