Manage PermissionsManage Permissions

UTB semarakkan bulan Ramadan



​Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Teknologi Brunei

 

 



BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 22 Mei. - Universiti Teknologi Brunei (UTB) melalui Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Majlis Perwakilan Pelajar UTB 2020 / 2021 (MPPUTB) menganjurkan Program Wakaf UTB, Wakaf Khas Ramadan 1441H / 2020M sebagai sebahagian daripada usaha berterusan dalam mendekati masyarakat.

 


Penyampaian sumbangan diedarkan selama tiga hari bermula dari 16 hingga 19 Mei 2020 ke masjid-masjid dan hospital-hospital terpilih di seluruh negara.

 


Rombongan diketuai oleh Dekan Hal Ehwal Pelajar, Dayangku Ida Nurul-Fitri binti Pengiran Haji Kahar bersama beberapa kakitangan dan mahasiswa universiti berkenaan.

 


Sebanyak BND3,194, 26 buah kerusi roda dan lain-lain hasil sumbangan daripada kalangan kakitangan dan mahasiswa universiti yang bermula sejak 6 Mei 2020.

 


Beberapa barang yang disumbangkan di bawah program tersebut termasuk tikar sembahyang, kipas elektrik, pembersih vakum, cermin, kerusi plastik / kerusi, peralatan pembersih dan lain-lain.

 


Menurut Dekan Hal Ehwal Pelajar, di tengah-tengah wabak COVID-19 ini, alhamdulillah pada tahun ini, Program Wakaf UTB disambut baik oleh kakitangan dan mahasiswa universiti, berbanding tahun sebelumnya dan inisiatif tersebut dihasrat akan dapat diteruskan pada tahun-tahun yang akan datang.


 

UTB turut mengadakan Majlis Khatam Al-Quran baru-baru ini menerusi platform dalam talian yang disertai seramai 103 peserta yang terdiri daripada 57 kakitangan dan 46 mahasiswa universiti berkenaan daripada pelbagai fakulti.

 


Hadir pada majlis tersebut selaku tetamu kehormat, Naib Canselor UTB, Profesor Dr. Dayang Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman.

 


Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan bacaan Surah Adh Dhuha hingga Surah Al Masad oleh para peserta Khatam Al-Quran. Bacaan Doa Khatam Al-Quran dan Dikir Marhaban mengakhiri acara.

 


Pada majlis tersebut, UTB turut menghulurkan sumbangan sejumlah BND2,052 kepada 38 anak yatim, terdiri daripada Mahasiswa UTB.

 


Penyerahan sumbangan disempurnakan oleh tetamu kehormat melalui kaedah pandu lalu.

 


Close