Manage PermissionsManage Permissions

Berkongsi aktiviti pemasaran pelancongan ASEAN



‚ÄčOleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Azmah Haji Ahad

 




JERUDONG, Rabu, 15 Januari. - Industri Pelancongan ASEAN semakin menunjukkan pertumbuhan yang ketara dalam dekad lalu dan terus menjadi penyumbang penting kepada pembangunan sosioekonomi di ASEAN.

 


Sehubungan itu, bersempena ASEAN Tourism Forum Travel Exchange (ATF TRAVEX) 2020, ASEAN National Tourism Organization (NTO) hari ini meneruskan lagi Taklimat Pelancongan bersama pengamal media yang disampaikan oleh Sekretariat ASEAN, Lembaga Pelancongan Singapura dan Lembaga Promosi Pelancongan, Filipina.

 


Pada taklimat tersebut, Penolong Setiausaha, Jabatan Pelancongan Filipina, Lembaga Promosi Pelancongan Filipina, Mr. Howard Lance A. Uyking selaku Pengerusi Kumpulan Kerja Perkongsian Pemasaran Pelancongan ASEAN (ATMP-WG) bersama-sama dengan wakil-wakil dari 10 negara anggota dan rakan kongsi berkongsi maklumat terkini mengenai aktiviti Pemasaran Pelancongan ASEAN.

 


Beliau antara lain menjelaskan mengenai pelancaran laman sesawang Pelancongan ASEAN yang baharu, iaitu 'www.VisitSEAsia.travel' dan juga perancangan bagi tahun 2020.


 

Antara perancangan tersebut menurutnya, meneruskan usaha untuk meningkatkan kesedaran Pelancongan ASEAN dan jenamanya, melalui penggunaan dan perkongsian saluran digital dan melaksanakan kempen pemasaran yang melibatkan orang-orang yang berpengaruh dari pasaran jarak jauh contohnya Amerika Syarikat, Eropah dan Australia.

 


Sementara itu, Penyelaras Pemasaran Pelancongan ASEAN, Ms. Dee Suvimol Thanasarakij dalam taklimatnya antara lain mengongsikan maklumat terkini daripada rakan-rakan pemasaran Pelancongan ASEAN iaitu Pusat ASEAN-China (ACC), Pusat ASEAN-Jepun (AJC), Pusat ASEAN-Korea (AKC), AirAsia, Mastercard dan TTG.

 


Dalam sesi Taklimat Media bersama Lembaga Pelancongan Singapura yang disampaikan oleh Pengarah Communication & Marketing Capability, Lembaga Pelancongan Singapura, Mr. Terrence Voon antara lain mengongsikan prestasi sektor pelancongan Singapura bagi tahun 2019 telah menerima jumlah pelancong antarabangsa sebanyak 15.9 juta di antara bulan Januari ke Oktober 2019 dengan kenaikan sebanyak 2.3 peratus.

 


Mr. Terrence Voon juga menjelaskan mengenai kualiti pelancongan Singapura iaitu dengan meningkatkan daya tarikan destinasi, menyokong daya saing industri dan membina penglibatan tempatan serta meneruskan pendekatan pemasaran berasaskan hasil.

 


Manakala Mr. Howard Lance A. Uyking yang mewakili Lembaga Promosi Pelancongan Filipina pula antara lain berkata, di bawah pentadbiran Presiden Duterte,mereka kini memasuki era infrastruktur emas melalui Program 'Build Build Build' dengan menghubungkan bandar dan wilayah sekali gus menjadikannya lebih mudah untuk orang ramai berniaga dan meninjau ke pulau-pulau di Filipina sama ada melalui udara, laut atau darat.

 


Perkembangan hebat ini menurutnya, telah membantu mereka mengalu-alukan lebih ramai pelawat antarabangsa pada tahun lalu.

 


Antara tempat-tempat yang menjadi tarikan para pelancong, ujarnya termasuk Pantai Boracay, Cebu, Davao, Gunung Hamiguitan yang merupakan salah satu tapak warisan UNESCO dan Pulau Palawan.

 


Industri Pelancongan Filipina, jelasnya terus menjadi destinasi pilihan para pelancong yang mana sejumlah 6.8 juta pelawat dari Januari hingga Oktober 2019 telah berkunjung ke sana, menunjukkan kenaikan 15.04 peratus daripada 5,911,161 ketibaan untuk tempoh yang sama untuk tahun sebelumnya.


 

Taklimat diakhiri dengan sesi soal jawab bersama para media yang hadir ke taklimat berkenaan.

 


Close