Manage PermissionsManage Permissions

BICTA cungkil bakat inovasi tempatan



Berita dan Foto : Aimi Sani

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 15 Januari. – Dalam merangsang pertumbuhan ekonomi sesebuah negara, inovasi merupakan salah satu elemen penting di mana ia tidak hanya terhad kepada penciptaan yang baharu malah ia merangkumi bagaimana sesuatu ciptaan itu dapat menyelesaikan masalah atau menambah baik penyelesaian dengan cara yang berbeza.

 


Sehubungan dengan itu, idea-idea berkenaan dapat membantu menjana pendapatan khususnya dalam bidang ICT. Justeru, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) telah giat melaksanakan, menggalakkan dan menyokong kepakaran tempatan melalui Anugerah Teknologi Info-Komunikasi Brunei (BICTA).


 

Anugerah ICT tahunan ini bertujuan untuk merangsang inovasi dan kreativiti ICT khususnya dalam kalangan individu, pelajar dan perusahaan termasuklah perusahaan kecil dan sederhana. BICTA dianjurkan bersama oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) dan InfoCom Federation Brunei (IFB). BICTA turut disokong oleh Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Darussalam Enterprise (DARe) dan BruIPO.


 

Penyertaan BICTA bagi tahun ini telah dibuka dan diumumkan oleh pihak MTIC semasa sidang media yang diadakan di Aras 1, Auditorium, Bangunan Design & Technology, Anggerek Desa. Dengan membawa tema 'Negara Pintar Melalui Transformasi Digital', Anugerah BICTA 2020 ini diharap akan dapat menggambarkan peralihan ke arah negara pintar dengan memberikan tumpuan kepada perkembangan teknologi baharu bagi transformasi digital untuk masyarakat dan ekonomi.

 


Bagi Negara Brunei Darussalam, langkah ini bertujuan untuk memanfaatkan teknologi baharu dengan berkesan dan berinovatif bagi mencapai visi Wawasan Brunei 2035.

 


Hadir semasa sidang media tersebut ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof selaku Pengerusi Bersama I Jawatankuasa Pandu BICTA 2020.

 


Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi, Cybersecurity, Strategi dan Korporat) di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Awang Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim; Pengerusi InfoCom Brunei (IFB), Awang Sheikh Haji Abas bin Sheikh Mohamad selaku Pengerusi Bersama II Jawatankuasa Pandu BICTA 2020; Pemangku Ketua Eksekutif AITI, Awang Haji Jailani bin Haji Buntar dan Ketua Hakim BICTA 2020, Pengiran Sarimah binti Pengiran Haji Abdul Latiff.

 


Selain itu, objektif BICTA diadakan adalah untuk menggalakkan inovasi dan kreativiti khususnya dalam ICT, jelas Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Awang Haji Mohammad Nazri semasa sidang media itu diadakan.

 


BICTA 2020 dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Kategori Sekolah yang dibukakan untuk individu atau kumpulan pelajar pada Tahun 7 hingga Tahun 11; Kategori Pengajian Tinggi yang dibukakan untuk individu atau kumpulan pelajar pada Tahun 12 hingga mahasiswa dan Kategori Industri ICT yang dibukakan untuk individu atau kumpulan, syarikat-syarikat dan agensi-agensi kerajaan.

 


Setiap pemenang untuk kategori tersebut akan menerima hadiah wang tunai sebanyak BND3,000 (Sekolah), BND7,000 (Pengajian Tinggi) dan BND10,000 (Industri). Selain itu, BICTA 2020 juga akan mengetengahkan lima Anugerah Khas iaitu Penyelidikan dan Pembangunan; Teknologi Big Data Analytics; Teknologi Artificial Intelligence (AI); Teknologi Internet of Things (IoT) dan Start-up.

 


Dalam ucapan semasa sidang media, Awang Haji Mohammad Nazri, mengumumkan bahawa BICTA 2020 adalah tahun Anugerah Penaung Diraja yang memberi pengiktirafan kepada pemenang keseluruhan terbaik daripada kesemua kategori pertandingan tersebut dan anugerah tersebut akan disampaikan semasa Majlis Anugerah BICTA 2020 yang akan diadakan pada separuh akhir tahun ini nanti.  

 


Penaung Diraja BICTA ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.



Jawatankuasa Penganjur akan mengadakan BICTA Plus 2020 sebagai persediaan untuk pertandingan BICTA 2020 iaitu program 'bootcamp' sebagai platform untuk peserta-peserta BICTA mendapatkan bimbingan daripada progam-program khusus yang dikendalikan oleh pelatih-pelatih pakar.

 


BICTA Plus merangkumi pelbagai topik seperti teknologi baharu, ideation dan validation, perancangan perniagaan, harta intelek dan pembangunan produk yang sedia untuk dipasarkan. Program ini memberi peluang kepada peserta untuk meningkatkan keupayaan dan kemahiran serta meningkatkan kualiti produk sebelum bersaing di pertandingan tersebut.

 


BICTA merupakan komponen di bawah Asia-Pacific ICT Alliance (APICTA) Awards di mana kualiti dan kategori yang dibukakan adalah selaras dengan piawaian APICTA. Penyertaan Negara Brunei Darussalam di APICTA sejak 2008 telah berjaya meraih dua kemenangan dan 27 anugerah merit setakat ini. Pada tahun ini, pemenang-pemenang BICTA akan mewakili Negara Brunei Darussalam di APICTA yang akan diadakan pada November 2020 di Pulang Pinang, Malaysia.

 


Institut pengajian tinggi, sekolah menengah, agensi kerajaan dan syarikat perusahaan serta penduduk tempatan yang mempunyai produk dan perkhidmatan ICT untuk dipertandingkan adalah dialu-alukan bagi menyertai BICTA 2020. Maklumat lanjut mengenai BICTA dan borang permohonan boleh didapati di laman sesawang BICTA di www.bicta.gov.bn.

 


Tarikh tutup bagi mengikuti pertandingan ini ialah pada 31 Ogos 2020. Untuk maklumat lanjut, pihak yang berminat boleh menghubungi Urus setia BICTA melalui emel bicta@aiti.gov.bn atau menghubungi talian 2323232.

 


Close