Manage PermissionsManage Permissions

Didakwa bersalah atas 14 tuduhan



‚ÄčOleh : Rohani Haji Abdul Hamid, Nooratini Haji Abas / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor/ Morshidi, Muhammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 15 Januari. - Yang Arif Hakim Gareth John Lugar-Mawson menyampaikan keputusan beliau di dalam kes terhadap pasangan pegawai kehakiman, Ramzidah binti Pehin Datu Kesuma Diraja Kol (B) Haji Abdul Rahman (Tertuduh Pertama) dan Haji Nabil Daraina bin Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin (Tertuduh Kedua) di Mahkamah Tinggi, hari ini.


 

Perbicaraan kes tersebut telah diperdengarkan selama enam minggu di antara bulan September dan November 2019.

 


Sepanjang perbicaraan tersebut, pihak Pendakwaraya Jonathan Caplan QC telah mengemukakan sebanyak 1672 buah dokumen sebagai bahan bukti daripada 93 saksi terdiri daripada pegawai-pegawai kehakiman, pegawai-pegawai bank, pekerja-pekerja dari ejen penjual kereta, seorang penyiasat forensik digital dari IT Protective Security Services Sdn. Bhd. (ITPSS), seorang pakar analisis tulisan tangan dari Bahagian Physical Evidence dari Jabatan Perkhidmatan Saintifik, dan pegawai-pegawai penyiasat dari Biro Mencegah Rasuah (BMR) dan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).

 


Tertuduh Pertama telah disabit bersalah di atas semua 14 tuduhan ke atasnya bagi kesalahan pecah amanah wang berjumlah BND15.75 juta yang telah dikeluarkannya daripada akaun-akaun Penerima Rasmi di bawah kawalan dan pengurusannya sebagai seorang Timbalan Penerima Rasmi.

 


Kes ini melibatkan jumlah terbesar yang pernah digelapkan oleh seorang penjawat awam di Negara Brunei Darussalam.

 


Seramai 255 penghutang penghakiman yang telah membuat bayaran bulanan telah terjejas ekoran daripada jenayah yang dilakukan oleh Tertuduh Pertama. Akibat perbuatannya, sebilangan besar penghutang penghakiman tidak dapat menjelaskan hutang-hutang mereka sepenuhnya.


 

Pihak Pendakwa Raya juga telah mengemukakan 608 keping slip pengeluaran wang tunai yang telah dibuat pada 71 hari yang berbeza.


 

Keterangan daripada pakar analisa tulisan tangan telah mengesahkan bahawa tandatangan yang membuat pengeluaran itu adalah dibuat oleh Tertuduh Pertama sendiri. Keterangan ini tidak dinafikan oleh pihak Tertuduh.

 


Selain itu, Tertuduh Pertama juga menyatakan bahawa dia telah menerima sebanyak BND5 juta daripada seorang warganegara Malaysia kerana telah menjadi saksi untuk perjanjian-perjanjian sulit tetapi beliau tidak pernah mendedahkan maklumat lanjut daripada perjanjian sulit tersebut.

 


Mahkamah mendapati bahawa keterangan ini sukar untuk dipercayai. Tertuduh Pertama tidak pernah memberi penjelasan mengenai sebab dia diberi wang sebegitu secara berterusan atau apa peranannya berhubung dengan perjanjian sulit itu. Walau bagaimanapun, mahkamah tidak mendengar bukti daripada warganegara Malaysia itu malah Hakim tidak mendapati sebarang bukti lain yang dapat menyokong keterangan daripada Tertuduh Pertama tersebut.


 

Tertuduh Pertama tidak pernah memberi apa-apa penjelasan pun kepada BMR ataupun PPDB mengenai alasannya dalam mengeluarkan wang tunai sebanyak BND15.75 juta itu mahupun mengenai apa yang telah dibuatnya dengan wang tunai tersebut.


 

Walau bagaimanapun, dokumen-dokumen yang mengandungi nota-nota dan juga persuratan kepada pihak Bank menyatakan bahawa wang tersebut telah dimasukkan ke dalam akaun-akaun simpanan tetap yang telah dibuka bagi kepentingan penghutang.

 


Pihak Pendakwa Raya juga telah memanggil saksi-saksi daripada Bank-bank yang berkuat kuasa di Brunei Darussalam bagi mengesahkan akaun tersebut tidak wujud.

 


Walaupun Tertuduh Pertama mempunyai hak untuk tidak memberi keterangan, Yang Arif Hakim hairan dengan keengganannya untuk menjelaskan di mana akaun-akaun simpanan tetap tersebut dibuka. Hanya Tertuduh Pertama yang tahu di mana akaun-akaun tersebut dibuka tetapi dia tetap memilih untuk berdiam diri dalam hal ini.

 


Peguam bela bagi Tertuduh-tertuduh, Simon Farrell QC mengetengahkan beberapa aduan di dalam penghujahannya ke Mahkamah khususnya mengenai kelemahan kes Pendakwa Raya yang hanya fokus terhadap akaun-akaun Penerima Rasmi.

 


Beliau juga menegaskan bahawa pihak Pendakwa Raya tidak memberikan bukti daripada pemiutang-pemiutang bagi mengesahkan bahawa mereka tidak menerima bayaran daripada wang tunai yang dikeluarkan oleh Tertuduh Pertama.

 


Walau bagaimanapun, pihak Pendakwa Raya ada memanggil pegawai-pegawai dari Jabatan Kehakiman yang memeriksa dokumen kes-kes kebankrapan dan mengesahkan bahawa tiada bayaran dibuat kepada pemiutang-pemiutang penghakiman kecuali di dalam 11 kes tersebut.

 


Yang Arif Hakim mendapati bahawa tidak ada keperluan untuk Pendakwa Raya memanggil ke semua pemiutang penghakiman bagi 255 kes-kes tersebut kerana Pendakwa Raya telah menghasilkan bukti-bukti perbankan yang menunjukkan bahawa Tertuduh Pertama telah menyeleweng sejumlah besar wang tunai dari akaun-akaun Penerima Rasmi di bawah kendaliannya.

 


Yang Arif Hakim juga tidak melihat sebarang kritikan mengenai pengendalian BMR dan PPDB dalam menyiasat kes ini.

 


Tertuduh Pertama juga telah disabitkan atas tuduhan pecah amanah jenayah yang berjumlah BND35,000 yang dibayar di kaunter Pejabat Penerima Rasmi di antara bulan April dan Mei 2017. Walaupun peguam belanya memaklumkan bahawa wang tunai tersebut telah diambil oleh seorang bekas pekerja BIBD (Bank Islam Brunei Darussalam) yang ditugaskan untuk mengutip wang tunai dari Pejabat Penerima Rasmi untuk dimasukkan ke dalam akaun bank yang berkenaan, Yang Arif Hakim bersetuju dengan pihak Pendakwa Raya bahawa perbuatan Tertuduh Pertama yang kerap menyalahgunakan wang dari akaun-akaun Penerima Rasmi itu membuktikan bahawa Tertuduh Pertama juga telah menyalahgunakan wang tunai sebanyak BND35,000 ini.

 


Yang Arif Hakim Lugar-Mawson telah berpuas hati tanpa sebarang keraguan bahawa Tertuduh Pertama tahu sumber nota-nota wang tunai BND10,000 yang digunakannya dalam tuduhan pengubahan wang haram adalah hasil daripada perbuatan jenayah pecah amanahnya sendiri.

 


Dengan itu, Tertuduh Pertama didapati bersalah ke atas 10 tuduhan pembersihan wang haram yang mana dia telah memasukkan wang dari hasil jenayahnya ini ke dalam akaun bersamanya dengan suaminya (Tertuduh Kedua), menggunakannya untuk membayar pembelian sebuah kereta, menukarkannya ke denominasi yang kecil dan juga memindahkan hasil tersebut dari akaunnya di bank tempatan ke akaun banknya di United Kingdom. 


Close