Manage PermissionsManage Permissions

Hormati bendera negara



​Berita dan Foto : Hernie Suliana Haji Othman

 





BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 14 Januari. - Setiap negara di dunia memiliki bendera rasmi dan lagu kebangsaan masing-masing yang perlu dihayati, dihormati dan dipelihara termasuklah Negara Brunei Darussalam.

 


Sehubungan itu, Jabatan Penerangan melalui Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan mengadakan program Taklimat Kenegaraan yang berlangsung di Dewan Kuliah, Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SM YSHHB), Jalan Kebangsaan.

 


Taklimat mengenai raja kita, tatacara menaik-kibarkan bendera negara dan sejarah Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam disampaikan oleh Penolong Pegawai Penerangan, Dayang Hajah Noorhijrah binti Haji Idris dengan terperinci.

 


Seramai 84 penuntut Tahun 7 SM YSHHB hadir pada program tersebut berserta tenaga pengajar.

 


Turut berangkat ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak 'Abdul Hafeez bin Pengiran Anak Khairul Khalil.

 


Para penuntut didedahkan kepada sejarah awal hidup raja kita, iaitu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sebelum menaiki takhta sehingga sekarang.

 


Taklimat juga mengongsikan sejarah penciptaan Lagu Kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan' pada sekitar tahun 1947 oleh Allahyarham Awang Haji Basar bin Sagap selaku pencipta lagu dan Allahyarham Yang Amat Mulia Pengiran Setia Negara (Dr.) Pengiran Haji Mohamed Yusuf bin Pengiran Haji Abdul Rahim selaku penyusun seni kata.

 


Para penuntut juga diingatkan untuk menyanyikan lagu kebangsaan dengan berdiri tegak dan penghormatan yang selayaknya dari awal hingga akhir, mengikut seni kata dan irama lagu serta dengan penuh tertib dan semangat yang tinggi.


 

Selain itu, bendera yang koyak dan luntur hendaklah diganti dengan yang baharu, dan tidak boleh digunakan sebagai alat untuk menerima, memegang, membawa atau menyerahkan sesuatu benda dan sebagainya, serta tidak boleh digunakan bagi tujuan iklan dalam apa cara jua.

 


Oleh itu, kitani perlu merasa bangga kerana memiliki bendera negara dan lagu kebangsaan sendiri, maka kibarkanlah dengan megah bendera negara dan nyanyikanlah lagu kebangsaan dengan penuh penghayatan dan penghormatan.

 


Program diakhiri dengan Kuiz Kenegaraan dan penyampaian hadiah kepada pemenang kuiz disampaikan oleh Dayang Hajah Noorhijrah.


Close