Manage PermissionsManage Permissions

ATF TRAVEX platform promosi pelancongan ASEAN



‚ÄčOleh : Khartini Mohd. Hamir / Foto : Azmah Haji Ahad

 

 




JERUDONG, Selasa, 14 Januari. - Negara Brunei Darussalam menjadi tuan rumah ASEAN Tourism Forum (ATF) Travel Exchange (TRAVEX) 2020 yang bermula hari ini hingga 16 Januari nanti dengan mengetengahkan peluang pembeli dari seluruh dunia untuk membeli beberapa produk perkhidmatan dan pelancongan terbaik dan terkini dari seluruh Asia Tenggara.

 


Ia merupakan Sambutan Ulang Tahun Ke-39, bertema 'ASEAN : Together Towards A Next Generation of Travel'.

 


Sehubungan itu, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Haji Apong mengadakan Lawatan ke Pameran ATF TRAVEX, di Dewan Pameran, Pusat Persidangan Antarabangsa Bridex, di sini, antara lain menyediakan platform bagi penjualan dan pembelian produk pelancongan serantau dan individu negara-negara anggota ASEAN sebagai sebahagian daripada program tahunan ATF.

 


Acara ATF TRAVEX yang unik ini juga dikhususkan bagi memudahkan para pembekal produk dan perkhidmatan pelancongan ASEAN dan pembeli antarabangsa untuk berurus niaga juga bertemu dengan peserta melalui perjanjian perniagaan yang dijadualkan sebelum ini.

 


Kedua-dua pihak boleh memaksimumkan penyertaan mereka melalui mesyuarat yang dijadualkan terdahulu, seterusnya memberikan ruangan yang fleksibel untuk meneroka, berunding dan mengesahkan tawaran di antara satu sama lain.

 


Selain itu, ATF adalah usaha serantau untuk mempromosikan Persatuan Negara-negara ASEAN sebagai satu destinasi pelancongan, di mana ia melibatkan sektor-sektor industri pelancongan dari 10 buah negara ASEAN, iaitu Negara Brunei Darussalam, Filipina, Indonesia, Kemboja, Lao PDR, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand dan Viet Nam.

 


Sebanyak 300 peserta pameran ASEAN, 200 pembeli perdagangan pelancongan, media antarabangsa dan tempatan menghadiri TRAVEX tahun ini.

 


Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan turut melawat beberapa pameran ASEAN yang mengambil bahagian di TRAVEX, termasuk Brunei Darussalam, di mana penyertaan negara pada tahun ini diwakili oleh Darussalam Holdings Sdn. Bhd.; The Empire Brunei; Freme Travel Services; Jerudong Park Country Club; Mulia Hotel; Oceanic Quest Brunei; dan Royal Brunei Airlines.

 


Menurut TTG Asia selaku penganjur acara, Eropah membentuk majoriti pembeli yang diluluskan pada 41 peratus, diikuti oleh Asia pada 32 peratus dan Amerika pada 15 peratus.

 


Selebihnya pembeli yang diluluskan melalui pasaran, termasuk Australia, New Zealand, Azerbaijan dan Estonia.

 


Salah satu pembeli yang diluluskan pada peringkat awal adalah Pengurus Operasi bersama Bidtravel, Sepanyol, Jaime Monfort yang sedang mencari untuk membangunkan lawatan kumpulan dengan pakej khusus, terutama dari Brunei, Filipina, Kemboja, Laos, Malaysia dan Viet Nam di TRAVEX 2020.

 


Pengurus Besar Cosmopolis, Perancis, Guillaume Vaudey de Vaudrey memberitahu TTG Media, bahawa beliau berminat dengan rakan-rakan dari Brunei, Malaysia, Singapura dan Thailand.

 


Turut hadir semasa lawatan itu, Setiausaha Tetap, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Pengiran Kamalrudzaman bin Pengiran Haji Mohd. Ishak; Timbalan Setiausaha Tetap (Pelancongan), KSSUP, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali; dan pegawai kanan dari Jabatan Kemajuan Pelancongan.


Close