Manage PermissionsManage Permissions

Laungan Dikir semarakkan Malam Penutup Dikir Maulud



​Berita dan Foto : Ak. Syi'aruddin Pg. Dauddin

 

 


BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 8 November. - Menanamkan rasa kasih dan cinta terhadap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam juga memohon ganjaran teristimewa dan syafaat bagi orang-orang yang berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam adalah amalan mulia dalam pembentukan jati diri individu Muslim.

 


Sehubungan itu, bersempena dengan Memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang disambut pada 12 Rabiulawal setiap tahun, semua masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara bergema dengan Dikir Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam selama 12 malam berturut-turut bermula 1 Rabiulawal 1441 lalu.

 


Majlis tersebut merupakan salah satu syiar dan acara hari-hari kebesaran Islam yang disambut oleh umat Islam di negara ini.

 


Berikutan itu, Majlis Penutup Dikir Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam selama 12 malam berturut-turut diadakan di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, di sini.

 


Hadir, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

 


Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai, dipimpin oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, diikuti dengan Tazkirah mengenai 'Berzanji', disampaikan oleh Ketua Bahagian Bimbingan dan Latihan, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Awang Haji Suhaimi bin Haji Mohd. Noor, seterusnya Persembahan Berzanji oleh Awang Haji Junaidi bin Sabtu.

 


Dikir Assalamualaika pada majlis tersebut dibawakan oleh pegawai dan Kumpulan Dikir Masjid Omar 'Ali Saifuddien.

 


Sementara Dikir Khairuman Daik dibawakan oleh Kumpulan Dikir BASMIDA, manakala Dikir Alham Siddiq dibawakan oleh Kumpulan Dikir Persatuan PERANGKAP, Kampung Burong Pingai Berakas.

 


Acara Dikir diteruskan dengan Dikir Badat Kufi, dibawakan oleh Kumpulan Dikir Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

 


Sementara Dikir Ashraqal dibawakan oleh Kumpulan Dikir Gabungan Kampung Belimbing dan Kampung Subok.

 


Doa Dikir dibacakan oleh Begawan Mudim Haji Metassim bin Haji Metussin, sementara Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Emran bin Haji Kunchang.

 


Juga hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap KHEU, Dato Seri Setia Awang Haji Abd. Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof; Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) KHEU, Awang Haji Mohd. Serudin bin Haji Timbang; juga pegawai kanan dan kakitangan daripada KHEU.

 


Majlis diadakan sebagai salah satu syiar Islam dalam memakmurkan masjid, selain Memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, di samping dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan pegawai dan kakitangan KHEU bersama jemaah masjid dan penduduk kampung.



Close