Manage PermissionsManage Permissions

Bukti penyelewengan wang dibongkar



‚ÄčOleh : Rohani Haji Abdul Hamid, Nooratini Haji Abas \ Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor





BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 9 Oktober. - Beberapa orang saksi dari Biro Mencegah Rasuah (BMR) memberi keterangan di sebelah petang di dalam perbicaraan terhadap Tertuduh Pertama, Ramzidah binti Pehin Datu Kesuma Diraja Kol (B) Haji Abdul Rahman dan Haji Nabil Daraina bin Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin di Mahkamah Tinggi hari ini.



Dalam perbicaraan tersebut, penyiasatan ke atas seorang Pembantu Penerima Rasmi di Unit Kebankrapan menemukan bahawa Tertuduh Pertama akan membuat tanda nota seperti 'IN FD' ataupun 'FD' pada beberapa surat perbankan di dalam Judicial Case Management System (JCMS).



Nota-nota ini menandakan bahawa wang tunai yang telah dikeluarkan telah dimasukkan ke dalam akaun simpanan tetap. Setelah menjumpai 27 keping surat yang mengandungi nota tersebut, Pegawai Penyiasat telah bertanyakan kepada bank-bank tempatan mengenai dengan kedudukan akaun-akaun simpanan tetap di bawah nama Tertuduh Pertama.



Pejabat Penerima Rasmi juga ada menyerahkan surat-surat dari bank-bank tempatan berkenaan dengan hal ini.



Tidak ada akaun simpanan tetap telah dijumpai di bawah nama Tertuduh Pertama di SCB, Baiduri Bank, BIBD, Maybank, Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), United Overseas Bank Limited (UOB), RHB Bank Berhad dan BIBD At-Tamwil Berhad.



Di antara April 2018 sehingga Disember 2018, sejumlah 234 Penghutang Penghakiman telah dihubungi untuk membantu siasatan. 19 daripada mereka telah meninggal dunia tetapi empat daripada mereka telah diwakili oleh ahli-ahli keluarga untuk membantu siasatan.



Penghutang Penghakiman ini tidak pernah meminta Timbalan Penerima Rasmi untuk mengeluarkan wang tunai bagi pihak mereka dan juga tidak pernah menerima wang tunai daripada Timbalan Penerima Rasmi.



Salah seorang Penghutang Penghakiman memaklumkan Pegawai BMR bahawa beliau telah membuat bayaran penuh bagi melunaskan hutang beliau dalam bentuk wang tunai sebanyak BND35,000 pada 19 April 2017 tetapi belum lagi dibebaskan daripada kebankrapan. Wang ini tidak dimasukkan ke dalam akaun OR beliau.



Dalam siasatan, rakaman CCTV di Cawangan Utama BIBD telah diminta dari BIBD. Rakaman yang diterima pada bulan Jun 2018 mengandungi rakaman pada 5 Disember 2017 yang menunjukkan Tertuduh Pertama berdiri di kaunter juruwang untuk transaksi pengeluaran wang tunai.


 

Mengikut bukti-bukti yang ada, wang tunai yang dikeluarkan ialah BND442,000 dari tujuh akaun OR telah dibuat oleh Tertuduh Pertama pada hari tersebut.



Pada bulan Ogos 2018, BMR telah bertanyakan kepada Pemiutang Penghakiman melalui firma guaman masing-masing mengenai dengan kedudukan tuntutan mereka. Daripada balasan yang diterima dan juga dokumen-dokumen yang diberikan oleh Pejabat Penerima Rasmi, Pegawai Penyiasat mengatakan bahawa cuma ada 12 kes yang telah dibayar dividen menggunakan cek ataupun pindahan dana sahaja.



Pegawai Penyiasat kes ini menyimpulkan bahawa bayaran dividen sepatutnya sudah boleh dibuat jika tidak ada pengeluaran wang tunai dibuat oleh Tertuduh Pertama.



Sebagai contoh, seorang Penghutang Penghakiman mempunyai hutang sebanyak BND115,508.87 tetapi di antara 2011 dan 2016, Tertuduh Pertama mengeluarkan sebanyak BND172,000.



Jonathan Caplan QC akan menyambung lagi pemeriksaan ke atas Pegawai Penyiasat esok pada jam 9 pagi.




Close