Manage PermissionsManage Permissions

Dapatkan rawatan awal, cegah masalah mental



​Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kesihatan

 

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 10 Oktober. - Sebagai sebuah masyarakat yang menginginkan inklusiviti (inclusivity) dan tidak mendiskriminasi, kita perlu lebih terbuka untuk berhadapan dengan isu-isu kesihatan mental dan menanganinya melalui pendekatan yang sesuai dengan budaya kita yang sering bantu-membantu dan saling menghormati sesama kita.

 


Sewajarnya jua, kita perlu memastikan persekitaran yang kondusif dan menggalakkan mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental untuk mendapatkan bantuan, daripada berasa malu, terasing ataupun berputus asa.

 


Perkara tersebut ditekankan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Md. Isham bin Haji Jaafar dalam Perutusan sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia yang disambut pada 10 Oktober setiap tahun di seluruh dunia.

 


Menurut Yang Berhormat Menteri Kesihatan, Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia tersebut merupakan inisiatif yang diperkenalkan oleh Persekutuan Dunia bagi Kesihatan Mental (World Federation for Mental Health) untuk mempromosi, dan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kesihatan mental dan isu-isu yang berkaitan dengannya.

 


Hari Kesihatan Mental Sedunia pada tahun ini, jelas Yang Berhormat, membawa tema 'Promosi Kesihatan Mental dan Pencegahan Bunuh Diri', di mana pada tahun ini, memberikan perhatian kepada pencegahan kejadian bunuh diri.

 


Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih daripada satu kematian akibat bunuh diri berlaku setiap 40 saat di seluruh dunia atau 800,000 orang setiap tahun.

 


Bunuh diri adalah penyebab kematian kedua tertinggi bagi mereka yang berusia di antara 15 hingga 29 tahun, di mana belia muda adalah lebih berisiko disebabkan keganasan, penderaan seksual dan buli, termasuk buli siber (cyber bullying).

 


Di Negara Brunei Darussalam, menurut statistik yang diperoleh daripada Pasukan Polis Diraja Brunei, terdapat peningkatan pada kadar bunuh diri, iaitu daripada kadar 1.9 bagi setiap 100,000 penduduk pada tahun 2015 menjadi 2.6 bagi setiap 100,000 penduduk pada tahun 2018.

 


''Walaupun statistik ini masih menunjukkan kadar bunuh diri yang rendah jika dibandingkan dengan negara-negara lain di seluruh dunia, ini bukan bermaksud kita tidak perlu mengambil berat mengenainya. Bahkan kita perlu mengambil langkah-langkah pencegahan yang lebih efektif bagi menangani masalah ini sebelum ia menjadi isu yang berat dan sukar dikawal,'' jelas Yang Berhormat.

 


Jelas Yang Berhormat, bunuh diri atau percubaan untuk membunuh diri adalah disebabkan oleh perkara-perkara kompleks dan tidak semestinya mudah difahami. Di samping kemurungan dan masalah kesihatan mental yang lain, bunuh diri dan tingkah laku (behaviour) bunuh diri, kedua-duanya juga dianggap adalah disebabkan oleh gabungan faktor-faktor sosial, psikologikal, biologikal, ekonomi, alam sekitar, tingkah laku dan budaya.

 


Walau bagaimanapun, tegas Yang Berhormat, isu bunuh diri sebenarnya boleh dicegah, terutama jika mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental mendapatkan rawatan awal. Sebagai sebuah masyarakat yang prihatin, kita perlu mengubah persepsi mengenai isu-isu kesihatan mental juga golongan yang mempunyai masalah kesihatan mental agar kita dapat bekerjasama untuk mencegah daripada berlakunya sebarang kejadian bunuh diri.

 


Di samping itu, menurut Yang Berhormat, aliran media utama dan penggunaan media sosial juga berperanan dalam pencegahan kejadian bunuh diri. Ini termasuklah penyampaian maklumat yang tepat dan berguna juga dapat mendorong mereka yang berkenaan mendapatkan bantuan kesihatan mental.

 


Aliran media utama di Negara Brunei Darussalam, jelas Yang Berhormat menunjukkan perkembangan positif dalam sama-sama membantu menangani isu mengenai kesihatan mental.

 


Dalam kesempatan ini, saya ingin mengingatkan dan memohon kerjasama orang ramai, khususnya pengguna media sosial di negara ini untuk sama-sama memainkan peranan dalam mengingatkan di antara satu sama lain dan menggalakkan tingkah laku yang bertanggungjawab, termasuklah untuk tidak menyiarkan atau menyebarkan perkara-perkara yang tidak sahih, palsu atau sensitif, dan untuk sentiasa menghormati privasi juga maruah orang lain.

 


''Alhamdulillah, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kesihatan, secara berterusan melaksanakan usaha-usaha mempromosi kesihatan mental yang baik dan dalam pencegahan kejadian bunuh diri. Ini termasuk mengadakan pelbagai program kesihatan seperti 'Mind Your Mind' dan Brunei Bebas Buli.

 


''Dalam tahun ini juga, Kementerian Kesihatan memperkenalkan Talian Harapan 145 untuk memberikan bantuan dan nasihat kepada mereka yang mengalami kesukaran atau krisis emosi, termasuk berfikir untuk membunuh diri.

 


''Talian Harapan 145 turut menyediakan maklumat mengenai cara-cara untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan mental di negara ini, sama ada secara 'walk-in' atau janji temu di kemudahan-kemudahan yang terdapat di Kementerian Kesihatan. Bagi mereka yang memerlukan bantuan dalam kes kecemasan, mereka bolehlah mendapatkan bantuan di Jabatan Kecemasan di hospital yang berhampiran,'' ujar Yang Berhormat.

 


Di samping itu, jelas Yang Berhormat, Kementerian Kesihatan juga mempunyai pelbagai kepakaran profesional yang terdiri daripada ahli psikiatri, jururawat, ahli psikologi, doktor perubatan dan pegawai kebajikan perubatan bagi membantu mereka yang mengalami masalah kesihatan mental untuk mereka kembali menjadi lebih sihat dan baik. Perkhidmatan profesional kesihatan ini mudah diakses dalam membantu mereka yang memerlukan khidmat berkaitan kesihatan mental.

 


Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan bahawa satu daripada empat orang di seluruh dunia mengalami atau boleh dipengaruhi dengan masalah kesihatan mental dalam kehidupan mereka. Oleh itu, pengesanan awal, seterusnya rawatan peringkat awal adalah sangat penting.

 


Kementerian Kesihatan juga ingin menekankan kepentingan dalam memberikan sokongan kepada individu yang mempunyai masalah kesihatan mental dan untuk melayan individu berkenaan dengan hormat.

 


''Saya juga seterusnya ingin menggalakkan mereka yang mempunyai kawan / rakan, rakan sekerja, kenalan atau orang yang mereka sayangi yang mengalami kesukaran atau tekanan, untuk sentiasa hadir dan meluangkan masa bersama mereka dan dengar masalah mereka dengan sabar dan tanpa membuat penilaian (judgement). Beri harapan, bantuan galakan untuk mereka mendapatkan rawatan profesional dan menawarkan untuk menemani mereka ke klinik kesihatan bagi mendapatkan perjanjian perjumpaan doktor. Berikan sokongan kepada mereka untuk terus mendapatkan bantuan atau rawatan, insyaaAllah dengan ini akan membawa kepada perubahan positif dan mereka akan kembali pulih, seterusnya menjadi lebih baik,'' saran Menteri Kesihatan.

 


Close