Manage PermissionsManage Permissions

YSHHB hulur sumbangan sebanyak BND32,370



Siaran Akhbar dan Foto: Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah





 

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 11 September. - Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) hari ini menghulurkan sumbangan keseluruhannya berjumlah BND32,370 kepada beberapa buah institusi termasuk golongan yang kurang bernasib baik seperti mereka yang terlibat dalam musibah rumah roboh dan kebakaran rumah.

 

Majlis dimulakan dengan penyerahan sumbangan YSHHB sebanyak BND5,000 kepada Institut Pengajian Dasar, Universiti Brunei Darussalam (UBD) bagi membiayai sebahagian daripada perbelanjaan untuk mengadakan Simposium Antarabangsa Urus Tadbir Islam  (International Islamic Governance Symposium) Kali Pertama dengan tema Evolusi Negara Islam (The Evolution of the Muslim State).

 

Ilmu ataupun dapatan daripada simposium tersebut nanti akan berperanan sebagai platform bagi mengimplementasikan MIB dalam sistem pentadbiran negara secara bersepadu.

 

Sumbangan tersebut adalah sebagai sokongan YSHHB kepada institusi pengajian dalam menjalankan aktiviti penyelidikan dan perkembangan (research and development) bagi kepentingan dan kemajuan ilmu dan kemasyarakatan.

 

Sumbangan daripada YSHHB diterima oleh Pensyarah dan Penyelaras Program Graduan, Institut Pengajian Dasar, UBD, Dayang Norainie binti Ahmad.

 

YSHHB seterusnya memberikan sumbangan sebanyak BND15,000 kepada Persatuan Belia Belait (PEMBELA) bagi membiayai sebahagian daripada perbelanjaan untuk menganjurkan ‘Brunei Darussalam Youth Cultural Exchange and Conference 2019 (BDYCEC 2019)’.

 

Sumbangan tersebut dihasratkan bagi meningkatkan penglibatan belia dalam pembangunan masyarakat dan negara.

 

BDYCEC 2019 adalah program yang mengumpulkan belia dan beliawanis dalam membudayakan semangat cintakan seni dan menghargai ciri-ciri kebudayaan, menghalusi seni budaya dan memantapkan khazanah negara serta memberi peluang pekerjaan melalui pelancongan.

 

Sumbangan daripada YSHHB diterima oleh Timbalan Yang Di-Pertua PEMBELA, Awang Haji Roslan bin Haji Hamdan.

 

Bagi mempertingkatkan perkembangan syiar Islam, YSHHB memberikan sumbangan sebanyak BND1,730 kepada Balai Ibadat Hajah Aminah Kampung Long Mayan, Tutong untuk mengadakan Program Menghalusi Fardu Ain yang dijalankan pada 1 hingga 4 Oktober 2019.

 

Program tersebut adalah salah satu usaha dalam mengembangkan lagi gerakan dakwah dan syiar Islam di kampung berkenaan yang mempunyai ramai penduduk mualaf.

 

Sumbangan daripada YSHHB diterima oleh Ketua Imam Balai Ibadat Hajah Aminah Kampung Long Mayan, Tutong, Awang Muhd Ghazali bin Muhd Ariffin.

 

YSHHB juga menghulurkan memberikan sumbangan sebanyak BND2,490 kepada Kumpulan Belia ‘Ibadurrahman Masjid Hassanal Bolkiah untuk membiayai Aktiviti Perkhemahan ‘Dare to be Different 3.0’ yang dikendalikan oleh Jawatankuasa dan Belia/Beliawanis Kumpulan Belia ‘Ibadurrahman dengan kerjasama Jawatankuasa Takmir Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong.

 

Sumbangan tersebut merupakan sokongan YSHHB dalam memperkembangkan aktiviti takmir masijd berkenaan, di samping memberikan galakan kepada para belia untuk aktif dalam aktiviti keugamaan.

 

Sumbangan daripada YSHHB diterima oleh Ahli Jawatankuasa Kumpulan Belia ‘Ibadurrahman Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong, Awang Muhammad Firas bin Kalong/Ibrahim.

 

YSHHB  seterusnya menyerahkan sumbangan kepada mangsa-mangsa yang terlibat dalam musibah rumah roboh dan kebakaran rumah.  

 

Bantuan tersebut dilaksanakan dengan segera bagi meringankan beban mangsa yang terlibat.

 

Yayasan memberikan sumbangan keseluruhannya berjumlah BND8,150 kepada keluarga mangsa kebakaran rumah dan kejadian rumah roboh.

 

Ketua keluarga mangsa kebakaran rumah yang menerima sumbangan daripada YSHHB ialah Awang Sabtu bin Timbul dari Kampung Mentiri susulan kejadian kebakaran rumah yang berlaku pada 2 Ogos lalu.

 

Sementara, ketua keluarga mangsa kejadian rumah roboh yang menerima sumbangan daripada Yayasan ialah Awang Haji Mohd Irni bin Haji Mohd Daud dari Kampong Saba Darat selepas kejadian rumah roboh yang berlaku pada 7 September 2019.

 

Kesemua penyerahan sumbangan disempurnakan oleh Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku Pemangku Pengarah Urusan YSHHB.


Close