Manage PermissionsManage Permissions

4.8 peratus peningkatan dalam tahap pematuhan peniaga



Siaran Akhbar dan Infografik : Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi





 
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 20 Julai. - Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi melalui Jabatan Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna telah mencatatkan kadar peningkatan sebanyak 4.8 peratus dalam tahap pematuhan peniaga kepada Akta Kawalan Harga bagi enam bulan pertama tahun 2019 berbanding tempoh yang sama pada tahun 2018.
 
Para peniaga adalah digalakkan untuk terus mengekalkan tahap pematuhan yang tinggi terhadap undang-undang kawalan harga.
Tempoh dari Januari hingga Jun 2019 telah merekodkan jumlah kesalahan yang menurun iaitu sebanyak 63 kesalahan merangkumi 23 kompaun dan 40 notis amaran berbanding 89 kesalahan yang dicatatkan pada enam bulan pertama tahun 2018.
 
Beberapa kesalahan yang masih kerap dilakukan oleh syarikat-syarikat perniagaan adalah seperti menjual minyak masak melebihi harga maksima yang ditetapkan dan tidak membubuh tanda harga pada barangan yang dipamerkan.
 
Para peniaga dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi Akta Kawalan Harga dan peraturan-peraturan di bawahnya dengan memastikan barangan yang dikawal harga tidak dijual melebihi harga maksima yang ditetapkan oleh JPKE dan pihak pengawal selia sektor-sektor yang berkenaan, serta barangan yang dijual untuk dibubuh tanda harga yang jelas bagi memelihara kebajikan pengguna di negara ini.
 
Pemeriksaan rutin harian di bawah Akta Kawalan Harga dilaksanakan secara berterusan di seluruh negara dalam usaha untuk memastikan syarikat-syarikat perniagaan mematuhi akta berkenaan dan peraturan-peraturan di bawahnya seperti peraturan tanda harga dan peraturan acara jualan murah ke arah menggalakkan aktiviti jualan yang beretika.
 
Para peniaga diingatkan mengenai manfaat pematuhan terhadap Akta Kawalan Harga dan peraturan-peraturan di bawahnya termasuk seperti menjaga dan mengekalkan reputasi baik syarikat perniagaan dan mengukuhkan kesetiaan pengguna yang akan mendorong ke arah mewujudkan penggunaan domestik yang lebih berdaya tahan dan persekitaran perniagaan yang mampan di Negara Brunei Darussalam.
 
Para peniaga juga disarankan agar bersaing secara sihat dengan menawarkan harga yang kompetitif di bawah harga maksima yang dibenarkan bagi sebelas (11) barangan yang tersenarai di bawah Akta Kawalan Harga termasuk minyak masak dan susu tepung anak damit. Manakala, harga bagi barangan yang tidak tersenarai di dalam Akta Kawalan Harga adalah tertakluk kepada kuasa pasaran (market forces).
 
Adalah penting bagi para peniaga untuk sentiasa mengambil langkah-langkah yang bersesuaian bagi memastikan pematuhan terhadap Akta Kawalan Harga dan peraturan-peraturan di bawahnya.
 
Kesalahan berulang boleh dikenakan kompaun tidak melebihi BND1,000. Kesalahan seterusnya boleh didakwa dan dikenakan denda maksima sebanyak BND20,000 dan penjara selama lima tahun oleh mahkamah.
 
Dalam pada masa yang sama, JPKE menasihatkan para pengguna untuk sentiasa mengamalkan konsep "Pengguna Bijak" dalam berbelanja dengan membuat perbandingan harga sebelum melakukan sebarang transaksi pembelian bagi mendapatkan nilai harga yang terbaik.
 
Para pengguna boleh memuat naik aplikasi mudah alih PenggunaBijak / SmartConsumer yang mempunyai fungsi seperti perbandingan harga bagi barangan keperluan harian terpilih, senarai syarikat-syarikat perniagaan yang menawarkan harga jualan murah dan senarai harga-harga maksima terkini bagi barangan yang disenaraikan di bawah Akta Kawalan Harga.
 
Bagi keterangan lanjut mengenai fungsi kawalan harga, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna di talian +673 2230223 (waktu pejabat) atau talian hotline Pengguna Talian Darussalam 123. Boleh juga melayari aplikasi mudah alih 'PenggunaBijak / SmartConsumer' atau menghantar e-mel 'aduanpengguna@jpke.gov.bn' / 'consumercomplaint@jpke.gov.bn' ataupun layari laman sesawang 'www.depd.gov.bn/cad' atau Facebook 'AduanPenggunaJPKE'.
 
Orang ramai juga boleh berhubung terus ke pejabat JPKE, Jabatan Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi, Bilik 3.06, Tingkat 3, West Wing, Blok 2A, Jalan Ong Sum Ping.







Close