Manage PermissionsManage Permissions

Kadar pematuhan penetapan harga maksima bermusim meningkat



Siaran Akhbar : Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi





BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 16 Julai. - Semasa tempoh penetapan harga maksima bermusim tahun ini, para peniaga telah berjaya meningkatkan kadar pematuhan ke atas harga maksima yang ditetapkan bagi 8 jenis barangan makanan harian terpilih.


Hanya tujuh premis perniagaan didapati menjual melebihi harga maksima berbanding 34 premis perniagaan pada tahun lepas.


Kesalahan-kesalahan berkenaan didapati semasa pemeriksaan rutin harian yang dijalankan di kesemua daerah oleh Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Kementerian Kewangan dan Ekonomi. Barangan yang didapati dijual melebihi harga maksima adalah mentega, santan, susu pekat dan tepung. Berikutan itu, surat amaran telah dikeluarkan kepada tiga buah premis di Daerah Brunei Muara, tiga buah premis di Daerah Tutong dan sebuah premis di Daerah Belait.


Harga maksima bermusim telah ditetapkan oleh JPKE selama lima minggu bermula 1 Ramadan hingga 7 Syawal 1440 Hijrah ke atas barangan berikut iaitu ayam bulat; telur ayam; mentega; marjerin; minyak sapi; susu pekat, cair dan krim; tepung; dan santan pekat, krim dan serbuk. Inisiatif tahunan ini bertujuan untuk mengekalkan harga yang berpatutan bagi barangan makanan terpilih yang sering digunakan bagi penyediaan makanan semasa musim perayaan.


JPKE ingin menekankan walaupun musim perayaan serta penetapan harga maksima bermusim telah berakhir, para peniaga digalakkan untuk terus menawarkan harga yang kompetitif bagi menarik pelanggan. Manakala, para pengguna pula diingatkan untuk berbelanja secara bijak dengan membuat perbandingan harga dan produk atau jenama yang sebanding (substitute) di pasaran bagi mendapatkan nilai terbaik semasa membuat pembelian.


Orang ramai juga digalakkan untuk mengamalkan hak mereka sebagai pengguna dengan melaporkan sebarang isu dan memberikan maklum balas kepada JPKE melalui saluran-saluran berikut iaitu :

• Hotline Pengguna : Talian Darussalam 123

• Applikasi mudah alih : PenggunaBijak / SmartConsumer

• Email : 'aduanpengguna@jpke.gov.bn'

• Facebook : AduanPenggunaJPKE

• Di talian : +673 2230223 semasa waktu bekerja.



Close