Manage PermissionsManage Permissions

Bagaimanakah solat seorang musafir?




Oleh : Nooratini Haji Abas \ Foto : Hamzah Mohidin

 

 



TUNGKU LINK, Rabu, 15 Mei. - Allah Subhanahu Wata'ala mengurniakan kemudahan dan kelonggaran kepada musafir (orang yang belayar) untuk mengqasar (memendekkan) atau menjamak (menghimpunkan sembahyang) atau kedua-duanya sekali dengan syarat-syarat yang telah ditentukan.

 

Perkara itu antara inti pati Bengkel Kesempurnaan Solat dengan tajuk Cara Solat bagi Musafir, disampaikan oleh Pegawai Buhuth, Jabatan Mufti Kerajaan, Dayang Siti Aishah binti Haji Abu Bakar bagi peserta perempuan di Bilik Muzakarah, Masjid Universiti Brunei Darussalam (UBD), di sini.

 

Jelasnya, syarat-syarat qasar itu antaranya jarak perjalanan lebih dua marhalah, iaitu 89.04 kilometer (tidak termasuk jarak balik dari pelayaran); hendaklah Safar itu telah bermula, iaitu jika Safar melalui jalan darat atau jalan air atau jalan udara yang tempat berlepas, maka jalan air dan jalan udara itu terletak di luar bandar, pekan atau kampung tempat tinggal, maka Safar bermula.

 

Jika bandar, pekan atau kampung tempat tinggal itu mempunyai perbatasan yang khusus, maka Safar ujarnya bermula setelah melewati perbatasan tersebut.

 

Sementara bagi peserta lelaki Cara Solat bagi Musafir disampaikan oleh Imam Masjid UBD, Awang Haji Jufri bin Hidup bertempat di Ruang Legar Masjid UBD.

 

Seramai 50 peserta lelaki dan 70 peserta perempuan menyertai bengkel berkenaan yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan UBD, jabatan-jabatan kerajaan juga para mahasiswa UBD.

 

Bengkel selama tiga hari yang bermula sejak 13 Mei lalu bertujuan untuk memberi peluang kepada orang ramai amnya dan pelajar UBD khasnya agar lebih mengetahui dan memahami cara solat yang sempurna semasa sihat ataupun sakit.

 

Semasa bengkel dijalankan, para peserta juga diberi peluang untuk mengajukan soalan tentang masalah-masalah kontemporari berkaitan solat.

 

Bengkel anjuran Jawatankuasa Keagamaan UBD 2019 - 2020 dengan kerjasama Jawatankuasa Takmir Masjid UBD diharap akan melahirkan para peserta atau belia yang cemerlang dari segi mental dan fizikal juga spiritual yang akan tercapai dengan jayanya.

 


Close