Manage PermissionsManage Permissions

UNISSA kendalikan Program Suntikan Iman




Berita dan Foto : Hernie Suliana Haji Othman





BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 15 Mei. - Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pusat Kepimpinan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat menawarkan Program Suntikan Iman 1440 Hijrah / 2019 Masihi yang merangkumi pelbagai topik rohaniah dan juga pembelajaran Al-Quran dalam beberapa siri kuliah yang diadakan di sepanjang bulan Ramadan.


Hari ini, Kuliah Ramadan bertajuk 'Wanita dan Puasa' disampaikan oleh Pensyarah Fakulti Undang-undang UNISSA, Dr. Nurol Huda binti PDSMDSU Haji Awang Ismail.


Kuliah diisikan dengan perkara-perkara yang perlu diketahui oleh wanita dan juga lelaki sebagai kepala keluarga dalam menjalani ibadah puasa dengan mendedahkan pengetahuan am berkaitan puasa Ramadan, menjelaskan hukum puasa wanita yang didatangi haid, nifas dan keadaan lain, serta menghuraikan kaedah qada puasa dan fidyah.


Seramai 15 peserta terdiri daripada orang-orang persendirian, pegawai dan kakitangan kerajaan dan pelajar menghadiri kuliah tersebut.


Selain dari kuliah, program berkenaan juga diisikan dengan pembelajaran Al-Quran seperti Celik Al-Quran (Asas Membaca Al-Quran); Pro Makhraj Huruf Al-Quran dan Aplikasi Dalam Surah Al-Fatihah; Mahir Bacaan Al-Quran - Kuasai Formula Hukum Ra' (edisi Bahasa Inggeris); Kaedah Berinteraksi dengan Al-Quran, juga Pengenalan Ilmu Hadith dan Ramadan for Kids yang diadakan pada hari-hari berlainan di Kampus UNISSA.


Orang ramai yang berminat untuk menyertai kuliah-kuliah tersebut boleh menghubungi talian +673 246 2000 sambungan 204 / 202 / 191, atau melalui emel 'C4L@unissa.edu.bn' untuk keterangan lanjut.


Close