Manage PermissionsManage Permissions

Bertadarus, berbuka bersama mualaf



Siaran Akhbar dan Foto : Pusat Da'wah Islamiah





TUTONG, Rabu, 15 Mei. - Bulan Ramadan adalah anugerah Allah Subhanahu Wata'ala kepada seluruh umat Islam, bulan yang penuh berkat dan keistimewaan di mana umat Islam dituntut untuk memperbanyakkan amalan dan kebajikan dalam mencari reda Allah Subhanahu Wata'ala.


Dalam kesempatan itu, rombongan Pusat Da'wah Islamiah yang diketuai oleh Pengarah Pusat Da'wah Islamiah, Awang Haji Abd. Rajid bin Haji Mohd. Salleh telah  berkunjung ke Masjid Kampung Benutan, Daerah Tutong untuk sama-sama mengadakan Majlis Bertadarus dan Berbuka Puasa bersama para mualaf setempat kelmarin.


Rombongan terdiri daripada para pegawai dan kakitangan Bahagian Pentadbiran dan Urusetia Tafsir Darussalam.


Acara Tadarus Al-Quran dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh tetamu kehormat diteruskan dengan penyerahan bantuan keperluan harian kepada para mualaf.


Acara petang itu juga diselajurkan dengan penyerahan Buku Sembahyang Tarawih dan Kad Sayyidul Istighfar sempena bulan Ramadan 1440 Hijrah yang dikendalikan bersama oleh PDI dan Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan sokongan Bank Islam Brunei Darussalam [BIBD].


Majlis Bertadarus dan Berbuka Puasa bersama para mualaf di kawasan pedalaman ini merupakan aktiviti tahunan PDI dan dikendalikan oleh Bahagian Pembangunan Muallaf [Kebajikan Muallaf] dengan kerjasama Unit Da'wah Daerah Tutong.


Aktiviti seumpama ini bertujuan untuk mengajak para mualaf bagi sama-sama menghayati bulan Ramadan dengan melakukan aktiviti-aktiviti keagamaan seperti membaca Al-Quran, Sembahyang Sunat Tarawih dan Witir berjemaah.


Selain itu, aktiviti ini juga diharap dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara warga Pusat Da'wah Islamiah dan para mualaf.



Close