Manage PermissionsManage Permissions

​ Wujudkan kelestarian alam sekitar



Berita dan Foto : Hernie Suliana Haji Othman





BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 14 April. - Sempena sambutan Hari Tindakan Sungai Sedunia (International Action Day for Rivers), Green Brunei sebagai sebuah syarikat sosial (social enterprise) meneruskan usahanya ke arah mempromosikan kelestarian alam sekitar melalui inisiatif yang diterajui oleh belia dalam bidang pendidikan, pemuliharaan dan advokasi.


Sehubungan ini, mereka telah mengadakan kempen kebersihan di Kampung Sungai Kebun yang disertai oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Awang Haji Ash'ari selaku Pengasas Bersama dan Ketua Penglibatan Komuniti Green Brunei.


Hadir sama, Ketua Kampung Sungai Kebun, Awang Haji Marali bin Matzin.


Sebanyak 70 beg sampah berupa sampah barang harian seperti beg plastik, pembungkus makanan dan bekas styrofoam dikumpulkan di sepanjang kempen hasil kerja berpasukan lebih 40 sukarelawan terdiri daripada pelajar, penduduk setempat, anggota dan kakitangan Balai Bomba Sungai Kebun dan juga Ahli-ahli Green Brunei.


Projek Pembersihan Kampong Ayer merupakan sebahagian daripada siri pembersihan sepanjang Sungai Brunei yang dilakukan oleh Green Brunei dengan melibatkan belia, bertujuan untuk mewujudkan kesedaran mengenai pemuliharaan warisan budaya, kelestarian alam sekitar dan memupuk kesukarelawanan.


Kempen disokong oleh Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) Kementerian Pembangunan; Balai Bomba Sungai Kebun; Masjid Al-Muhtadee Billah dan juga Q-hanz Cafe.



Close