Manage PermissionsManage Permissions

Masjid tempat ibadah




Berita dan Foto : Mohamad Azmi Awang Damit






SUNGAI AKAR, Ahad, 14 April. - Masjid merupakan rumah Allah Subhanahu Wata'ala di mana umat Islam melakukan pelbagai ibadah dan aktiviti keagamaan yang mendatangkan manfaat ilmu serta ganjaran pahala berlipat ganda.


Mufti Besar Masjid Agung, Republik Indonesia, Dr. H. Mawardi M. Saleh semasa menyampaikan Tazkirah Subuh yang berlangsung di Masjid Rashidah Sa'adatul Bolkiah (MRSB), Kampung Sungai Akar menambah, antara aktiviti yang mendapat ganjaran pahala yang dilakukan di masjid ialah majlis-majlis ilmu yang mendatangkan pahala serta manfaat kepada yang mengongsikan ilmu dan yang mendengarkannya.


Beliau turut menekankan mengenai kepentingan sembahyang, yang mana jika dilakukan di masjid secara berjemaah adalah lebih baik berbanding melakukannya secara berseorangan di tempat lain.


Jika seseorang itu mengutamakan dan menjaga sembahyangnya berbanding dengan aktiviti keduniaan jelasnya, Allah Subhanahu Wata'ala akan memberikan rahmat-Nya kepada orang berkenaan dengan pelbagai bentuk ganjaran kemudahan dan pahala.


''Pelbagai ibadah lain yang turut dan sering dilakukan adalah berzikir dan berselawat kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Apa pun yang dilakukan di masjid itu, jika ianya bermanfaat, maka saat niat dipasang bagi melakukan perkara berkenaan sudah mendapat pahala dan apatah lagi setelah ia dilaksanakan,'' ujarnya.


Dr H. Mawardi di akhir tazkirahnya turut mengingatkan para jemaah, khususnya kepada belia-belia untuk terus memakmurkan masjid agar kehidupan mendapat berkat daripada Allah Subhanahu Wata'ala.


Hadir bersama para jemaah mendengarkan sesi tazkirah berkenaan ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.


Terdahulu, para jemaah menunaikan Sembahyang Fardu Subuh berjemaah yang diimamkan oleh Imam MRSB, Haji Saadullah bin Haji Salleh.


Close