Manage PermissionsManage Permissions

Pertandingan Memerhati Burung dilancarkan




Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman \ Foto : Azmah Haji Ahad





BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 14 April. - Pertandingan Memerhati Burung Brunei Bersiri (Brunei Bird Race Series - BBRS) 2019 edisi Bandar Seri Begawan dilancarkan  dengan acara pelepasan yang disertai oleh kira-kira 15 peserta dari keempat-empat daerah.


Acara Pelepasan Peserta disempurnakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Pengiran Haji Kamalrudzaman bin Pengiran Haji Mohd. Ishak bertempat di lokasi permulaan perlumbaan, The Capital Residence Suites, Bandar Seri Begawan, sekitar jam 6 pagi.


Turut hadir semasa acara pelepasan BBRS 2019 ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pelancongan) Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Ketua-ketua Jabatan dan Bahagian-bahagian dari Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, dan wakil dari agensi rakan strategi, sektor swasta dan persatuan organisasi bukan kerajaan tempatan.


BBRS 2019 merupakan rangkaian pertandingan memerhati burung secara bersiri (empat kali) untuk mengumpul bilangan foto spesis burung terbanyak menggunakan kamera dalam kawasan lokasi yang telah dikenal pasti, bermula dengan pertandingan pertama yang diadakan di kawasan Bandar Seri Begawan.


Pegawai Pelancongan, Awang Mohd. Jeffrey bin Haji Mohd. Sunny Lai ketika ditemui menjelaskan, KSSUP telah merancang untuk memajukan acara BBRS secara berperingkat, bermula sebagai acara tahunan dan kemudian ke peringkat antarabangsa dengan sokongan padu dari rakan strategik yang relevan.


Menurutnya, melalui pertandingan ini juga, pihak KSSUP akan menggunakan maklumat yang diperoleh untuk meningkatkan data dan pengenalpastian spesis burung di lokasi memerhati burung (bird watching) di setiap daerah, sekali gus membantu pihak yang berkepentingan dalam usaha mereka ke arah meningkatkan infrastruktur dan kemudahan bagi pelancongan memerhati burung seperti mewujudkan laluan 'bird watching' dengan bantuan papan tanda arah dan maklumat, e-brosur burung dan sebagainya.


Penyertaan BBRS secara individu dikenakan bayaran BND30 seorang di mana setiap peserta menerima sijil penyertaan, beg dan barangan cenderamata dari para penaja termasuk baju-T BBRS 2019, 'Bird Watching in Brunei Guidebook' edisi 2016 terbitan Jabatan Kemajuan Pelancongan.


Pertandingan BBRS seterusnya ialah bagi Edisi Tasek Merimbun di Daerah Tutong yang mana dirancang untuk diadakan pada bulan Julai 2019 nanti, manakala bagi Daerah Belait akan diadakan di Kawasan Labi pada bulan September dan yang terakhir diadakan di Kawasan Batang Duri, Daerah Temburong.


Maklumat mengenai para pemenang dan gambar-gambar spesis burung akan dikeluarkan pada masa yang terdekat di Facebook: Brunei Bird Race Series dan Instagram 'bruneibirdraceseries'. Untuk penjelasan lanjut sila e-mel 'brunebirdraceseries@gmail.com.'


Juara pertandingan ini nanti akan membawa pulang sebuah Piala BBRS 2019 edisi BSB berserta barangan kamera berharga BND1,350 tajaan CANON, sementara naib juara akan menerima PowerShot 740HS berharga BND520 tajaan CANON dan piala naib juara BBRS 2019 edisi BSB dan tempat ketiga akan memenangi hadiah berupa PIXMA E510 All in One inkjet Printer berharga BND119 tajaan CANON dan piala pemenang tempat ketiga BBRS 2019 edisi BSB.


Juga disediakan ialah hadiah-hadiah sagu hati berupa baucer pakej percutian pelancongan Bird Watching, pakej percutian Sumbiling Nature Getaway, pakej Mangrove Brunei River Bird Watching dan baucer penginapan.


BBRS 2019 dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan, KSSUP dengan sokongan dari agensi-agensi kerajaan yang berkaitan, rakan strategik dari sektor swasta dan persatuan organisasi bukan kerajaan tempatan.


Close