Manage PermissionsManage Permissions

Miliki harga diri



Berita dan Foto : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi





BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 14 April. - Harga diri ialah penilaian seseorang terhadap dirinya, iaitu mengenai keupayaan dan kemampuannya untuk berjaya di dunia dan akhirat.


Hanya orang yang memiliki harga diri mampu mencapai kejayaan dan kecemerlangan hidup di dunia.


Penolong Kaunselor Penjara di Jabatan Penjara, Awang Fariszal bin Ali yang juga Dai'e Bertauliah MUIB  menjelaskan, penilaian seseorang terhadap diri seseorang itulah menjadi kunci kejayaan,  sebab Allah bertindak mengikut apa yang difikirkan hamba-Nya.


Dalam tazkirahnya bertajuk 'Harga Diri', beliau turut menghuraikan antara tanda-tanda orang yang memiliki harga diri yang tinggi iaitu mudah menghargai orang lain kerana ia menghargai dirinya sendiri, berfikir positif iaitu hasil dari percakapannya terhadap dirinya sendiri serta menyayangi orang lain hasil ia menyayangi dirinya sendiri.


''Kita perlu menyayangi Allah terlebih dahulu barulah dapat menyayangi diri sendiri dan orang lain,'' tegasnya pada 'Masjidku Ma'mur, Negara Berkat' yang berlangsung di Masjid Omar 'Ali Saifuddien (MOAS).


Hadir bersama-sama jemaah ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.


Program 'Masjidku Ma'mur, Negara Berkat' minggu ini dikendalikan bersama oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan disokong oleh Jabatan Perdana Menteri.


Ia merupakan program mingguan bagi mengalu-alukan jemaah meningkatkan kehadiran memakmurkan masjid dan seterusnya bersama-sama secara istiqamah (berterusan) mendirikan Sembahyang Fardu Subuh secara berjemaah di awal waktu di masjid.



Close