Manage PermissionsManage Permissions

Program kesedaran giat dijalankan




Laporan : Sastra Sarini Haji Julaini / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Azmah Haji Ahad

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 14 Mac. - Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan jabatan-jabatan berkenaan di bawahnya sentiasa bekerjasama dengan Bahagian Kehidupan Liar, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan khususnya dalam mengenal pasti kawasan-kawasan yang terdapatnya buaya dan seterusnya mengeluarkan amaran dan peringatan kepada orang awam untuk sentiasa berhati-hati dan lebih berwaspada ketika berada di kawasan-kawasan yang dihuni oleh buaya berkenaan iaitu dengan memasang papan-papan tanda peringatan dan amaran.

 

Setakat ini, beberapa papan tanda telah dipasang di lokasi yang ada terdapat ancaman buaya seperti di Kampong Ayer, di Kawasan Tatangan Sungai Tutong berdepanan Kubur Suran dan bersebelahan bekas tapak Masjid Pekan Tutong, pintu penurunan jeti Pekan Tutong dan di belakang kawasan Pasar Malam Kuala Tutong. Papan-papan tanda juga ditempatkan di tempat-tempat lain seperti di pantai-pantai dan sungai-sungai tertentu.

 

Perkara tersebut dijelaskan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong bagi menjawab persoalan Yang Berhormat Awang Haji Ramli bin Haji Lahit mengenai perancangan untuk mengadakan program kesedaran khususnya bagi memahami secara mendalam tentang habitat buaya dan bahayanya kepada orang ramai termasuk pemasangan papan-papan tanda amaran berbahaya di kawasan-kawasan yang dikenal pasti berikutan peningkatan populasi buaya di negara ini.

 

"Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat selalu menerima panggilan daripada orang ramai yang memerlukan perkhidmatan untuk menangkap buaya yang didapati berada di kawasan-kawasan tertentu. Bagi tahun 2018, sebanyak 29 panggilan yang melibatkan buaya telah diterima," demikian tambah Yang Berhormat pada Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-15 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang bersidang pada sebelah pagi hari kelima di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis di sini.

 

Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Haji Apong juga menjelaskan program kesedaran kepada orang ramai (public awareness) memang merupakan satu aktiviti yang telah dan sedang giat dijalankan oleh Bahagian Hidupan Liar secara berterusan.

 

Melalui program kesedaran ini, antara langkah-langkah yang diambil adalah seperti pemasangan papan-papan tanda amaran di beberapa tempat dan kawasan yang telah dikenalpasti menjadi habitat buaya-buaya atau keberadaan buaya di tempat tersebut pernah dilaporkan. Pemasangan papan tanda amaran ini adalah supaya orang ramai akan sentiasa berhati-hati ketika menghampiri kawasan berkenaan, dan tidak membuat aktiviti-aktiviti seperti memancing, berenang dan sebagainya.

 

Manakala Program Jerayawara merupakan aktiviti yang telah dan akan diadakan secara berterusan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai, khususnya kepada penuntut-penuntut, mengenai bahaya dan ancaman buaya.

 

Selain itu, untuk memberikan maklumat kepada orang ramai mengenai keberadaan buaya-buaya liar dan risiko atau bahayanya kepada orang ramai, Bahagian Hidupan Liar juga merancang untuk mengadakan pembarigaan melalui media massa seperti melalui radio dan televisyen, media cetak serta laman sosial.

 

"Di samping itu juga, Bahagian Hidupan Liar menjalankan program pembangunan kapasiti kepada pegawai dan kakitangan dari agensi-agensi kerajaan yang berkenaan, iaitu ahli kepada Pasukan Bertindak bagi menangani isu buaya ini, yang terdiri dari Jabatan Perhutanan dan Bahagian Hidupan Liar, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan; Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; dan Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Perdana Menteri," jelas Yang Berhormat.

 

Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan juga memaklumkan yang baru-baru ini dua orang pakar dari Republik Filipina didatangkan untuk mengadakan kursus bagi meningkatkan kapasiti ahli-ahli Pasukan Bertindak tentang cara-cara menangkap buaya yang lebih berkesan. Pakar-pakar ini juga mengongsikan pengalaman mereka dalam tatacara menangani isu konflik di antara buaya dengan manusia bagi mengurangkan serangan-serangan buaya ke atas manusia.

 

Beberapa pakar juga akan didatangkan lagi bagi meningkatkan kebolehan pegawai-pegawai Pasukan Bertindak. 

 

Kebolehan dan maklumat yang diperoleh akan dapat membantu dalam penyaluran dan pembarigaan maklumat yang lebih jelas dan meluas kepada orang ramai secara berterusan mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan konflik antara manusia dan buaya, lebih-lebih lagi akan dapat memahami isu konflik ini dan seterusnya dapat mengurangkan ancaman-ancaman mahupun serangan-serangan oleh buaya di perairan negara ini.

 

Bagi menjawab soalan Yang Berhormat Awang Haji Ramli berkaitan dengan perancangan untuk mengeluarkan lesen atau permit penangkapan buaya secara bermusim, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali menyatakan perkara ini adalah merupakan perkhidmatan tambahan yang telah dimasukkan ke dalam cadangan penggubalan draf Wildlife Protection Order. Perkhidmatan ini akan membolehkan orang ramai membuat apa jua aktiviti yang berkaitan dengan hidupan liar termasuk penangkapan buaya.

 

Walaubagaimanapun, tambah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali, pemberian lesen penangkapan hidupan liar termasuk buaya liar adalah tertakhluk kepada penelitian dan penyelidikan lanjut bagi memastikan populasi dan taburannya tidak dieksploitasi secara berlebihan.

 

Sementara itu mengenai soalan yang berkaitan dengan kajian populasi buaya bagi menggelakkan kepupusan buaya-buaya, Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan menyatakan ia sudah dalam perancangan Bahagian Hidupan Liar, yang mana akan dijalankan melalui kerjasama dengan pihak Institute for Biodiversity and Environmental Research (IBER), Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan pakar-pakar dari luar negara. Pihak IBER, UBD pada masa ini sedang dalam penyediaan konsep kajian yang lengkap termasuk menyediakan kaedah-kaedah yang difikirkan bersesuaian dalam pelaksanaan kerja-kerja penyelidikan yang dimaksudkan itu nanti.



Close