Manage PermissionsManage Permissions

Permohonan penangguhan terakhir



Siaran Akhbar : Pejabat Peguam Negara / Foto : Hamzah Mohidin, Mohd. Sahrizal Haji Said

 

 



BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 14 Mac. - Berikutan permohonan penangguhan perbicaraan yang dibuat oleh defendan pada 12 Mac 2019, kedua-dua, Ramzidah binti Pehin Datu Kesuma Diraja Kol. (B) Haji Abdul Rahman dan Haji Nabil Daraina bin Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin hadir di hadapan Mahkamah Tinggi Bandar Seri Begawan awal pagi ini.

 

Yang Arif Hakim Gareth John Lugar-Mawson sekali lagi membenarkan penangguhan perbicaraan tersebut selepas permohonan penangguhan dibuat oleh Simon Farrell, QC bersama Sheikh Noordin Sheikh Mohammad, yang mewakili defendan-defendan.

 

Pihak Pembelaan memohon untuk mendapatkan akses sepenuhnya ke atas semua bahan bukti dalam simpanan Pendakwaan, sama ada ia akan digunakan sebagai bukti dalam kes Pendakwaan semasa perbicaraan atau sebaliknya.

 

Pihak pembelaan juga memohon untuk mendapatkan akses ke dalam Judiciary Case Management System (JCMS) dan komputer-komputer riba yang telah dirampas daripada defendan pada 8 Januari 2018.

 

Simon Farrell, QC berhujah bahawa pihak Pembelaan telah meneliti 30 fail kebankrapan dalam tempoh dua minggu yang lalu. Beliau juga menyatakan bahawa beberapa kenyataan saksi Pendakwa belum lagi diberikan kepada pihak Pembelaan.

 

Beliau seterusnya berhujah bahawa atas sebab-sebab yang telah dinyatakan, pihak Pembelaan tidak bersedia untuk meneruskan perbicaraan kerana mereka tidak dapat untuk menyediakan pembelaan mereka.

 

Beliau memohon agar perbicaraan ditangguhkan untuk beberapa bulan, selepas mana pihak Pembelaan akan bersedia untuk meneruskan perbicaraan. Beliau berkata bahawa permohonan penangguhan tersebut adalah permohonan penangguhan terakhir daripada pihak Pembelaan.

 

Jonathan Caplan, QC yang mewakili Pendakwa Raya, dengan tegas menentang permohonan penangguhan yang dibuat oleh pihak Pembelaan.

 

Beliau memaklumkan Mahkamah bahawa kali pertama permintaan untuk mendapatkan akses ke atas fail-fail kebankrapan telah dibuat oleh pihak Pembelaan pada 4 Februari 2019, dan seterusnya dibenarkan oleh pihak Pendakwaan. Walau bagaimanapun, pihak Pembelaan hanya meneliti fail-fail kebankrapan berkenaan pada 1 Mac 2019 dalam tempoh masa empat (4) hari.

 

Beliau juga berhujah bahawa pihak Pembelaan hanya membuat permintaan untuk mendapatkan akses kepada Microsoft Surface Pro kepunyaan Ramzidah pada 4 Mac 2019, dan permintaan ini telah dibenarkan pada keesokan harinya.

 

Berkaitan dengan keterangan-keterangan saksi, saksi-saksi Pendakwa Raya hanya akan mengemukakan dokumen-dokumen yang sudah diserahkan kepada pihak Pembelaan. Pihak Pendakwaan telah pun memberikan sebanyak 11 fail yang mengandungi dokumen-dokumen yang akan dikemukakan secara rasmi melalui saksi-saksi semasa perbicaraan.

 

Beliau juga menekankan bahawa pihak Pendakwaan bersedia untuk meneruskan perbicaraan dan mencadangkan supaya kes tersebut dijalankan secara berperingkat bermula dengan memanggil Timbalan-timbalan Penerima Rasmi dan juruwang bank, yang mana keterangan-keterangan mereka sudah diberikan kepada pihak Pembelaan.

 

Yang Arif Hakim Lugar-Mawson membenarkan permohonan penangguhan tersebut dan memerintahkan supaya pihak Pembelaan diberi akses sepenuhnya kepada semua bahan dalam simpanan pihak Pendakwa Raya, termasuk keterangan-keterangan saksi Pendakwa Raya, salinan dokumen-dokumen dan ekshibit-ekshibit.

 

Yang Arif Hakim Lugar-Mawson seterusnya menetapkan bagi kes tersebut diperdengarkan lagi pada Isnin, 18 Mac 2019 bagi persidangan sebelum perbicaraan (pre-trial review).

 

Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Hajah Suhana Haji Sudin; Hajah Suriana Haji Radin; Dayangku Didi-Nuraza Pengiran Abdul Latiff; dan Muhammad Qamarul Affyian bin Abdul Rahman juga hadir bagi pihak Pendakwa Raya.

 


Close