Manage PermissionsManage Permissions

Tanamkan azam berbakti untuk negara



Oleh: Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Mohamad Azmi Awang Damit, Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah, Muhammad Asri Haji Awang Abas

 




TEMBURONG, Khamis, 14 Mac. - Para belia mesti kaya dengan azam untuk berbakti bukan untuk menjadi beban kepada negara dan masyarakat.

 

Inilah janji suci yang perlu ada dan ditanam dalam jiwa setiap belia. 

 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekan perkara demikian semasa bertitah pada Upacara Perbarisan Tamat Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) Pengambilan Ke-8 berlangsung di Padang Kawad PKBN, Kem Latihan PKBN Batu Apoi, di sini hari ini.

 

Dalam titah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia terdahulu menjelaskan proses pembangunan belia bukannya mudah, tetapi memerlukan usaha padu dari semua peringkat masyarakat sama ada melalui program yang diusahakan oleh kerajaan mahupun melalui program-program yang dilaksanakan oleh pelbagai pihak di luar kerajaan. 

 

"Salah satu contoh program yang menjanjikan harapan tinggi ialah PKBN, kerana program ini diyakini sebagai mampu untuk melahirkan para belia yang baik, yang berdisiplin tinggi serta memiliki jati diri," titah Kebawah DYMM.

 

Tujuan utama program itu, baginda menambah, dapatlah disimpulkan sebagai untuk menjana ketahanan, melalui pemperkasaan para belia, supaya mereka itu lebih aktif dan proaktif dalam kerjaya masing-masing. 

 

"Kita tidak mahu para belia kita hanya asyik berseronok sahaja tanpa lebih memikirkan masa depan yang panjang yang penuh dengan cabaran.

 

"Hanya belia yang sedar dan pemikir sahaja yang mampu untuk menjadi pasak kepada negara. Selain daripada itu, tidak ada apa-apa yang dapat diharapkan," tegas baginda lagi.

 

Sebelum mengakhiri titah, baginda merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada seramai 388 Pelatih PKBN Pengambilan Ke-8 iaitu jumlah terbesar pengambilan setakat ini.

 

Tidak syak lagi, baginda bertitah, kejayaan para pelatih pada hari ini adalah hasil dari titik peluh masing-masing, di samping kerjasama padu daripada pelbagai pihak, terutama para jurulatih dan juga restu daripada ibu bapa dan penjaga.

 


Close