Manage PermissionsManage Permissions

Kukuhkan sahsiah berhias semangat patriotisme



Oleh: Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Mohamad Azmi Awang Damit, Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah, Muhammad Asri Haji Awang Abas

 




TEMBURONG, Khamis, 14 Mac. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menekankan bahawa negara sangat mementingkan kekukuhan sahsiah yang berhias dengan semangat patriotisme. 

 

Pada Upacara Perbarisan Tamat Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) Pengambilan Ke-8 hari ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam titahnya berkata jika sahsiah rapuh dan tidak berhias dengan semangat patriotisme, maka ia adalah ibarat jasad tidak bermaya, bayangkan kalau jasad tidak bermaya apakah yang mampu untuk disumbangkan?

 

"Kerana itu, supaya para belia khasnya mereka yang mengikuti Program Khidmat Bakti Negara ini tetap dengan sahsiah mereka yang unggul, maka kursus yang diberikan adalah bertitik-tolak kepada pengukuhan jati diri, ketahanan jasmani dan kesucian budi pekerti atau rohani.

 

Manakala semua ini dapat dicapai, maka itulah kebanggaan kita bersama," titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada upacara yang berlangsung di Padang Kawad PKBN, Kem Latihan PKBN Batu Apoi di sini. 

 

Terdahulu, Kebawah DYMM menegaskan, dalam era globalisasi, harapan adalah tipis untuk melihat pendidikan ukhrawi menjadi pilihan. Kerana itu, tidak hairan jika dunia kini ketandusan generasi yang kuat ugama. Sebaliknya yang lumrah ialah generasi yang lemah pegangan ugama. 


Namun menyedari ini, tambah baginda, Negara Brunei Darussalam sama sekali tidak akan membiarkan setiap generasi yang ada, jauh daripada ugama tetapi akan terus konsisten menanam nilai-nilai Islam ke dalam kehidupan mereka sama ada di sekolah, di pusat-pusat pengajian termasuk juga melalui kursus-kursus seperti yang berjalan dalam Kem Latihan PKBN.

 

"Kerana kesannya yang baik, latihan PKBN ini semakin mendapat tempat di hati masyarakat. Ia kian diyakini selaku wadah yang mampu untuk membina sahsiah dan memperkasa semangat patriotisme bangsa," tegas baginda lagi. 

 


Close