Manage PermissionsManage Permissions

Perluaskan pengetahuan isu strategik bidang pertahanan dan keselamatan



Oleh : Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said

 




TANAH JAMBU, Khamis, 10 Januari. – Kursus Maktab Turus Sesi Ke-9 selama 40 minggu bermula pada hari ini, bertujuan untuk memperluaskan pengetahuan profesional secara taktikal dan akademik bagi mempelajari isu-isu strategik masa kini dan kesannya terhadap mereka yang bertugas di dalam bidang pertahanan dan keselamatan.

 

Majlis perasmian kursus tersebut disempurnakan oleh Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud di Akademi Pertahanan ABDB.

 

Tahun ini, kursus dengan kerjasama UBD itu disertai oleh pegawai-pegawai tentera dari Bangladesh, Republik Rakyat China, Indonesia, Malaysia, New Zealand, Oman, Pakistan, Republik Filipina, Arab Saudi, Republik Singapura, Thailand, Amerika Syarikat, dan juga Korea Selatan di mana buat pertama kalinya menghadiri kursus tersebut.

 

Di samping itu, kursus itu juga turut dihadiri oleh seorang pegawai dari Pasukan Polis Diraja Brunei.

 

Juga hadir ialah Pemerintah-Pemerintah Angkatan Tentera, Pemangku Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD), Pengarah-Pengarah, Komandan-Komandan, Penasihat-penasihat/Atase-atase Pertahanan ke Negara Brunei Darussalam, berserta pegawai-pegawai dan anggota Akademi Pertahanan ABDB.

 

Bermulanya pada tahun penyampaian silibus akademik oleh Massey University, New Zealand kini diambil alih oleh UBD yang akan berkerjasama dengan Maktab Turus Akademi Pertahanan ABDB dalam mengendalikan kursus ini.

 


Close