Manage PermissionsManage Permissions

Bruneianisation Directive akan diperluas ke sektor bukan minyak dan gas



Berita dan Foto : Ak. Syi'aruddin Pg. Dauddin

 



 

BERAKAS, Khamis, 10 Januari. - Sepertimana Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Tahun Baharu Masihi 2019, ekonomi negara telah pun mula pulih dan ia dijangka akan berterusan pada tahun ini, namun tahun 2018 juga membawa beberapa cabaran bagi negara, antaranya pergerakan harga minyak yang masih tidak menentu.

 

Oleh demikian, pihak Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian memainkan peranan yang penting untuk mengukuhkan pengawalseliaan pengeluaran minyak dan gas bagi memelihara sumber hasil utama negara.

 

Perkara tersebut dijelaskan oleh Menteri Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mat Suny bin Haji Md. Hussien semasa menyampaikan ucapan pembukaannya pada Sesi Muzakarah Bersama Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Bilik Mesyuarat West Wing, Jabatan Perdana Menteri, di sini.

 

Sementara kadar pengangguran, terang Yang Berhormat Menteri, meningkat daripada 6.9 peratus menurut 'labour force survey' pada tahun 2014 menjadi 9.3 peratus menurut 'labour force survey' pada tahun 2017 yang baru diterbitkan oleh Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi.

 

Manakala Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dari sektor bukan minyak dan gas masih di paras yang rendah, dengan hanya sumbangan 42 peratus (42%) daripada pengeluaran KDNK secara keseluruhan pada tahun 2017, ujar Yang Berhormat Menteri meluahkan kerisauannya.

 

"Perkembangan semua sektor amat diperlukan agar menyumbang kepada penjanaan peluang-peluang pekerjaan.

 

Setiap tahun, kira-kira 6,500 orang pencari kerja baharu akan memasuki pasaran buruh atau pun 'labour market'.

 

Oleh itu, penjanaan peluang-peluang pekerjaan dan kaedah pengisian jawatan-jawatan dengan pekerja-pekerja tempatan secara sistematik adalah menjadi tumpuan kementerian pada tahun ini," jelas Yang Berhormat lagi.

 

Setakat ini, jelas Yang Berhormat, pihak kementerian memperkenalkan 'Bruneianisation Directive' bagi sektor minyak dan gas sejak Jun 2018, bertujuan untuk memastikan pengendali-pengendali minyak dan gas menjalankan 'succession planning' secara efektif untuk menyalurkan anak-anak tempatan sehingga ke jawatan tertinggi dalam sektor ini.

 

"Bruneianisation Directive ini, dengan izin Allah, akan diperluaskan lagi di sektor bukan minyak dan gas pada tahun ini, anak-anak tempatan perlu dibimbing serta diberi dorongan dan peluang untuk menjadi pemimpin dan pemacu kemajuan ekonomi negara dalam semua sektor," terang Yang Berhormat.

 

Yang Berhormat seterusnya menerangkan pihak kementerian berhasrat untuk mendukung kemajuan sektor perindustrian agar berkembang dengan lebih pesat, namun masih terdapat cabaran dari segi pelaksanaannya dan ia juga masih memerlukan perancangan yang lebih efektif untuk mempercepatkan pengeluaran ekonomi agar dapat menyumbang kepada perkembangan negara.

 

Oleh demikian, jelas Yang Berhormat lagi, pihak kementerian memberi perhatian pada tahun lepas kepada pengemaskinian struktur, fungsi-fungsi dan bidang-bidang tumpuan yang dapat mendatangkan impak positif juga meningkatkan keberkesanan dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab kementerian.

 

"Pada tahun lepas, pihak kementerian juga telah melancarkan Safety, Health and Environment National Authority (SHENA) untuk memantau hal ehwal Health, Safety dan Environment (HSE) negara bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan di tempat kerja.

 

Di samping itu, Autoriti Elektrik Negara Brunei Darussalam juga baru ditubuhkan bagi meningkatkan pengawalseliaan penjanaan, pemasangan dan penggunaan bekalan kuasa elektrik untuk menjaga kesejahteraan orang ramai," ujar Yang Berhormat Menteri lagi.

 

Dukungan keusahawanan juga akan diteliti dan dimantapkan lagi untuk memperkasakan pengusaha-pengusaha tempatan, terang Yang Berhormat Menteri lagi.

 

Pada menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia sempena Tahun Baharu Masihi 2019, ujar Yang Berhormat Menteri lagi, kita seharusnya meningkatkan penyertaan dalam rangkaian global dan oleh itu, perhatian juga akan diberikan untuk meningkatkan daya saing dan daya pengeksportan Perusahaan-Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana.

 

Atur Cara juga turut diisikan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan alu-aluannya yang disampaikan oleh Ahli MMN yang juga Penghulu Mukim Berakas 'B' Zon 1, Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon, antara lain berharap pihak kementerian akan dapat memenuhi aspirasinya, khususnya ke arah memperkukuh dan mempelbagaikan ekonomi.

 

Sesi Muzakarah diteruskan lagi dengan taklimat yang disampaikan oleh Setiausaha Tetap (Tenaga), Awang Haji Azhar bin Haji Yahya; Setiausaha Tetap (Tenaga Manusia) Awang Haji Zolkiflee bin Haji Abdul Karim dan Pemangku Setiausaha Tetap (Industri), Dayang Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab diakhiri dengan Sesi Perbincangan.

 


Close