Manage PermissionsManage Permissions

Pelancaran Ibu Pejabat Korporat RB



Berita dan Foto: Hernie Suliana Haji Othman




 

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 10 Januari. - Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) hari ini melancarkan bangunan Kampus RB (RB Campus), iaitu Ibu Pejabat Korporat yang diperluas dan diperbaharui dengan reka bentuk yang mengambil kira kebajikan kakitangan dan semangat berpasukan yang lebih kukuh.

 

Sebelumnya dikenali sebagai RB Training Centre, Rolls Royce and Hangars buildings, RB Campus menyediakan persekitaran kerja bagi meningkatkan produktiviti dan meningkatkan kerjasama pasukan dengan memperkenalkan konsep pejabat pelan terbuka untuk menggalakkan kesepaduan dan penglibatan pasukan yang bersuasana kampus.

 

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan pelancarannya ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah selaku Pengerusi Lembaga Pengarah RB.

 

Majlis berlangsung di Sky Cafe, RB Campus, Jalan Kustin, Berakas.

 

Dalam ucapan Yang Berhormat, pelancaran tersebut merupakan penumpuan kepada aset penting RB iaitu warga kakitangannya, yang merupakan kumpulan kolektif lebih daripada seribu individu dalam bersama-sama memastikan RB memenuhi matlamat utamanya untuk menghubungkan warga Brunei ke dunia yang lebih luas.

 

"Pelancaran RB Campus bukan hanya sekadar penjenamaan semula fasiliti, tetapi merupakan penekanan kepada berapa besar nilai RB dalam pengembangan sumber daya manusia. Pandangan ini turut dikongsi sama oleh Darussalam Assets sebagai salah satu kunci untuk kejayaan jangka panjang mana-mana organisasi," tambah Yang Berhormat.

 

Tetamu kehormat juga menyentuh mengenai dengan melengkapkan tenaga kerja dengan kemahiran yang tepat bagi melaksana tugas mereka, memandangkan transformasi teknologi pesat yang berlaku di semua industri terutamanya dalam bidang penerbangan, pembangunan kemahiran semakin kritikal dalam landskap perniagaan pada masa ini.

 

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif RB, Karam Chand mengongsikan progress kerja-kerja pengubahsuaian yang telah dijalankan ke atas RB Campus sejak 2013 yang menyaksikan pelbagai pembaikan dan menaiktaraf beberapa kemudahan dan fasiliti penting di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dan ibu pejabat di RB Plaza di ibu negara, termasuk pengubahsuaian ke atas pejabat-pejabat RB di luar negeri seperti di Dubai, Melbourne dan London.

 

Setakat ini, tambahnya, lebih daripada 300 kakitangan telah berpindah ke bangunan-bangunan di RB Campus dengan penempatan di bahagian masing-masing, yang dinamakan sempena bunga Brunei iaitu Simpur, Rose, Lily, Hibiscus, Orchid dan Jasmine.

 

Selain itu, salah satu ciri menarik kampus ialah Sky Cafe, yang merupakan kawasan umum untuk semua kakitangan RB menikmati hidangan, di samping mengadakan mesyuarat tidak formal  dalam suasana santai.

 

Majlis diakhiri dengan lawatan ke tempat-tempat di sekitar kampus dan bergambar ramai.

 


Close