Manage PermissionsManage Permissions

12 peserta bakal berentap di peringkat akhir



Oleh: Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto: Muhammad Asri Haji Awang Abas

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 10 Januari. - Seramai 12 peserta yang terdiri daripada enam qari dan enam qariah termasuk johan tahun lalu akan berentap pada Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1440 Hijrah/2019 Masihi yang akan berlangsung Februari hadapan.

 

Pemilihan bagi lima qari dan lima qariah teratas diumumkan hari ini pada musabaqah bagi peringkat separuh akhir yang diadakan selama tiga hari berturut-turut sejak Selasa lalu bertempat di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, Negara Brunei Darussalam di sini.

 

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

 

Terdahulu, Ketua Bahagian Kemajuan Syiar Islam, Awang Haji Mazneh bin Haji Md. Noor  antara lain menyatakan bahawa seramai 56 peserta iaitu 42 qari dan 14 qariah telahpun memperdengarkan bacaan mereka diperingkat separuh akhir ini dan 26 peserta daripadanya adalah mereka yang bertanding di peringkat Daerah dan Masjid, sementara selebihnya iaitu 30 peserta adalah mereka yang memperolehi markah 80 peratus ke atas di Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir 1439H/2018, tahun lepas.

 

Awang Haji Mazneh juga menjelaskan tahun ini terdapat sedikit perubahan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Kebangsaan iaitu Peringkat Suku Akhir Kebangsaan ditiadakan seperti tahun sebelumnya.

 

Jelasnya, peserta-peserta yang bertanding di peringkat Daerah dan Masjid yang memperoleh markah 80 peratus ke atas  terus bertanding di Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir kebangsaan bagi Tahun 1440 Hijrah/2019 Masihi.

 

Pemangku Pengetua Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB), Pengiran Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit, selaku Pengerusi Jemaah Hakim antara lain menyarankan para peserta agar mengambil perhatian sifat-sifat huruf dan makharijul huruf dengan jelas dan keseragaman mizan ahkam al-mudud dan ghunnah dan bermulanya bacaan sehingga tamat bacaan.

 

Pihak hakim juga menyarankan untuk memfokus empat maqam lagu seperti yang dipersyaratkan dengan harakat sempurna senaa dengan tabaqat suara serta berwaqaf dan bacaan perlu selari dengan suara.

 

Selain itu, pengawalan intonasi suara perlu dititikberatkan dan juga dari segi aspek teknikal ketika lagu penutup pada tempoh masa yang diberikan perlu diambil kira oleh para peserta.

 

Majlis bertemakan Memperkasa Pembelajaran Al-Quran tersebut diungkayahkan bersama Bahagian Kemajuan Syiar Islam, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Pusat Pengajian Dan Penyebaran Al-Quran MABIMS, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

 

Satu pencapaian yang amat ketara yang mana purata para peserta yang bertanding adalah mempertingkatkan kegigihan di dalam bidang seni Al-Quran dan berlumba-lumba meraih pencapaian agar negara akan sentiasa maju ke hadapan di dalam bidang ini sehingga boleh diketengahkan sebagai satu aktiviti bagi generasi muda malah menjadikannnya bidang pekerjaan yang bermanfaat.

 

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap KHEU,  Dato Seri Setia Awang Haji Abd Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof; Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar dan Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar Dan Keugamaan), KHEU, Awang Haji Serudin bin Haji Timbang.

 


Close