Manage PermissionsManage Permissions

Menjunjung kasih atas pemedulian Kebawah DYMM








BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 4 Januari. - Pada menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ingin melihat belia di negara ini terlibat secara langsung dalam sama-sama memainkan peranan ke arah menjana pertumbuhan ekonomi negara, seramai 16 orang graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian mereka di dalam dan di luar negara akan mengendalikan sebuah restoran di Ruang Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

 

Restoran yang diberi nama Restoran Tarindak Ungkayah Graduan ini merupakan satu-satunya restoran di negara ini yang akan diusahakan sendiri dan sepenuhnya oleh para lepasan graduan.

 

Atas keprihatinan dan pemedulian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang berterusan terhadap hal ehwal kebajikan para belia di negara ini, baginda telah berkenan memperuntukkan sebuah 'outlet' Tarindak sebagai tempat anggota Restoran Tarindak Ungkayah Graduan berusaha dan mencari rezeki selaras dengan hasrat baginda bagi melihat para belia di negara ini sebagai agen perubahan dan pengusaha yang berjaya serta tidak bergantung sepenuhnya kepada pihak kerajaan.

 

Para graduan yang terlibat terdiri daripada Dayang Nur Sahkina binti Rosli dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA); Dayang Nurul Majidah binti Zakaria dari Birmingham University; Dayang Asmaliani binti Ahmad dari Universiti Brunei Darussalam (UBD); Dayang Nur Amalina Farhana binti Mohd. Hamri dari Universiti Teknologi Brunei (UTB); Dayang Nurul Azyani binti Rudy Sahardey dari UBD; Ak. Akmalakbar bin Pg. Haji Badaruddin dari Asia Pacific University of Technologi and Innovation, Malaysia; Awang Md. Khairul Anwar bin Jaidi dari International Graduate Studies College; Awang Muhammad Helmi bin Haji Tamam dari UTB; Dayang Fatin Nor Afifah binti Haji Abdul Ghani dari UNISSA; Awang Mohamad Ashrafil bin Mohamad Ariffin dari UBD; Awang Muhammad Yasin bin Awang Yusof dari UTB; Dayang Hajah Fatimah binti Haji Abd Razak Lim dari KDU University College, Malaysia; Dayang Nurhanisah binti Mohammad Shamsul dari Kemuda Institute; Dayang Siti Rahmah binti Mohamad Ali Hussin dari IBTE Sultan Saiful Rijal; Dayang Nur Azirah binti Asba dari IBTE Sultan Saiful Rijal dan Awang Mohammad Ardzierrul bin Osman dari IBTE Sultan Saiful Rijal.

 

Di atas pemedulian berterusan baginda itu, para graduan tersebut telah menyembahkan menjunjung kasih setinggi-tingginya dan berjanji akan berusaha dengan gigih bagi memastikan usaha-usaha mereka dalam mengungkayah Restoran Tarindak Ungkayah Graduan itu akan membuahkan hasil yang dihasratkan yang setentunya diharapkan akan dapat menyuntik semangat mereka untuk terus maju menjadi 'role model' kepada graduan-graduan lain untuk mencuba dan menerokai sesuatu yang baharu dan dari 'comfort zone' mereka masing-masing.

 

Ke arah itu, Majlis Pembukaan Rasmi Restoran Tarindak Ungkayah Graduan akan diadakan pada hari Ahad, 6 Januari 2019 bertempat di Ruang Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei jam 10.00 pagi.

 

Bagi memberi sokongan dan dorongan kepada para graduan yang terlibat, majlis itu nanti akan dihadiri oleh Menteri-Menteri Kabinet, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat, Timbalan-Timbalan Menteri, Orang-Orang Berkedudukan Khas, Setiausaha-setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha tetap.

 

Adalah diharapkan Restoran Tarindak Ungkayah Graduan ini juga akan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai di negara ini bagi sama-sama membantu para graduan untuk menyahut dan menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

 


Close