Manage PermissionsManage Permissions

Upacara menaikkan bendera sempena Sukan Persahabatan BIMPNT-EAGA Ke-10



Oleh: Haniza Abdul Latif / Foto: Azmah Haji Ahad

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 6 Disember. - Kira-kira 200 atlet dan pegawai yang menyertai Sukan Persahabatan BIMPNT-EAGA Ke-10, 2018 berhimpun di Pedestrian Mall, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) bagi Majlis Menaikkan Bendera sempena temasya sukan tersebut.

 

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sukan Persahabatan BIMPNT-EAGA Ke-10, 2018.

 

Aturcara majlis dimulakan dengan upacara menaikkan bendera negara-negara yang menyertai Sukan Persahabatan BIMPNT-EAGA Ke-10 diiringi dengan nyanyian Lagu Kebangsaan negara masing-masing.

 

Bendera Negara Brunei Darussalam menjadi bendera pertama yang dinaikkan, diikuti dengan bendera Republik Indonesia, Malaysia, Republik Filipina dan Australia.

 

Sebelum majlis berakhir, Doa Selamat dibacakan oleh tenaga pengajar Al-Quran, Jabatan Belia dan Sukan, Awang Haji Abdul Halim bin Haji Fuad.

 

Majlis Menaikkan Bendera diadakan bagi menandakan semua kontinjen atau pasukan yang menyertai Sukan Persahabatan BIMPNT-EAGA Ke-10 telah tiba di Negara Brunei Darussalam.

 

Sukan Persahabatan BIMPNT-EAGA Ke-10, 2018 akan bermula secara rasminya pada Jumaat, 7 Disember 2018 ini dengan Majlis Pembukaan Rasmi bertempat di Stadium Tertutup, KSNHB bermula pukul 8.45 pagi.

 

Manakala Majlis Penutupan Rasmi pula akan diadakan pada 9 Disember 2018 juga bertempat di Stadium Tertutup, KSNHB bermula pukul 4.00 petang.

 

KKBS mengajak orang ramai hadir beramai-ramai bagi menyaksikan acara-acara sukan yang dipertandingkan serta memberi sokongan kepada atlet-atlet muda negara dan juga atlet-atlet daripada luar negara dan mendukung tema "Friendship Through Sports".



Close