Manage PermissionsManage Permissions

13 pelajar sertai Pertukaran Sukan Badminton di Jepun



Berita dan Foto : Hernie Suliana Haji Othman





BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 6 Disember. - Seramai 13 peserta terdiri daripada penuntut sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi dari seluruh negara terpilih untuk menyertai Pertukaran Sukan Badminton 'Sports Exchange (Badminton)' di bawah Program JENESYS 2018.


Sehubungan itu, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Motohiko Kato mengadakan Upacara Selamat Belayar (Send-Off Ceremony) bagi meraikan delegasi tersebut di Kedutaan Jepun, di Kiulap.


TYT dalam ucapannya berharap sebagai duta-duta kecil, setiap peserta akan membawa dan memperkenalkan budaya dan tradisi Brunei dengan rasa bangga kepada rakan-rakan baharu di Jepun dan menyuarakan harapan agar Brunei akan dapat menyertai Sukan Olimpik Tokyo pada tahun 2020 nanti.


Dalam pada itu, TYT juga menasihatkan para peserta agar menjaga kesihatan di sepanjang berlangsungnya program tersebut memandangkan sekarang merupakan musim sejuk di Jepun.

Para peserta akan berada di Jepun dari 11 hingga 18 Disember 2018 dan program tersebut akan diisikan dengan aktiviti perlawanan persahabatan bersama Daito Bunka University, Daiichi High School dan Nippon Sport Science University, di samping mengadakan aktiviti lawatan ke tapak bersejarah dan juga 'homestay'.


Rombongan diketuai oleh Pegawai Hal Ehwal Belia dan Sukan, Dayang Aini Solahiah binti Haji Kassim.


JENESYS 2018 bertujuan untuk memberikan pengalaman kepada para belia mengetahui mengenai 'real Japan' dari segi budaya, ekonomi dan teknologi, di samping memahami kepentingannya untuk Negara Brunei Darussalam di mana peserta digalakkan untuk mengongsikan apa yang dipelajari semasa program tersebut bagi mempromosikan lagi hubungan baik kedua-dua buah negara.



Close