Manage PermissionsManage Permissions

Dua IPT meterai kerjasama bersama pengeluar alat elektronik



Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Saerah Haji Abdul Ghani, Ihsan Kedutaan Jepun





BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 6 Disember. - Kedutaan Jepun menganjurkan Majlis Penandatanganan Kenyataan Kerjasama antara Panasonic Corporation, sebuah syarikat peralatan pengguna elektronik terkemuka di Jepun bersama dua Institut Pendidikan Tinggi (IPT) Brunei, iaitu Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan Universiti Brunei Darussalam (UBD).


Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke negara ini, Tuan Yang Terutama Motohiko Kato pada Sidang Media Majlis Penandatanganan Kenyataan Kerjasama tersebut berkata, Panasonic dan universiti-universiti tersebut akan memulakan projek perintis dengan segera, dengan harapan memperoleh skim terbaik dalam kerjasama bagi meningkatkan daya saing 'start-ups' Brunei dan menyumbang kepada peningkatan Perusahaan Kecil dan Sederhana di Brunei.


Terdahulu, Majlis Penandatanganan yang berlangsung di Kedutaan Jepun, Kampung Kiulap, di sini ditandatangani oleh Pengarah Pusat Harta Intelek, Panasonic Corporation, Yoshiaki Tokuda; Penolong Naib Canselor UBD, Pengiran Dr. Mohamad Iskandar bin Pengiran Haji Petra dan Penolong Naib Canselor UTB, Haji Ady Syarmin bin Haji Md. Taib.


Majlis Penandatanganan disaksikan oleh Tuan Yang Terutama Motohiko Kato.


Di bawah projek perintis ini, Panasonic dan kedua-dua universiti berkemungkinan akan meneroka penggunaan teknologi Panasonic untuk membangun prototaip produk bagi syarikat-syarikat 'start-ups' Brunei.


Idea asasnya adalah untuk menggabungkan model perniagaan yang menguntungkan bagi usahawan Brunei, potensi dalam pembangunan universiti-universiti dan teknologi canggih syarikat-syarikat Jepun untuk mencipta produk baharu dan berdaya saing.


Projek perintis juga akan mempertimbangkan cara-cara untuk mewujudkan ekosistem inovasi di Brunei dalam memahami unsur-unsur yang diperlukan untuk ekosistem berkenaan.


Turut hadir pada Sidang Media tersebut, Naib Canselor, UBD, Datin Dr. Dayang Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz; Naib Canselor UTB, Profesor Dr. Dayang Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman; Lembaga Pembangunan Ekonomi Brunei, Farah Attiyah Zanoal; Ketua Program Perusahaan, Darussalam Enterprise (DARe), Lim Hang Ping; Ketua Pengarah, BrulPO, Shahrinah Yusof Khan dan Pengarah Harta Intelek JETRO Singapura, Yutaka Nidome.



Close