Manage PermissionsManage Permissions

Pelancaran Depot Hijau pertama di Kuala Belait



Berita dan Foto : Noraisah Haji Muhammed





 

KUALA BELAIT, Khamis, 6 Disember. - Dalam usaha untuk menggalakkan amalan kitar semula dalam kalangan masyarakat di negara ini, RECOVER dan Green Brunei telah menubuhkan Depot Hijau yang pertama dan dilancarkan di kemudahan Green Depot, bertempat di No 1 Simpang 24-29, Jalan Panglima, Kuala Belait.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Timbalan Pengarah Urusan Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd, Awang Yap Kong Fah.

 

Depot Hijau merupakan platform untuk komuniti membawa kitar semula mereka seperti kertas, botol plastik dan aluminium.

 

Kitar semula tersebut akan ditimbang dan direkodkan dalam sistem dalam talian, di mana pengguna akan dapat melihat hasil kitar semula mereka ditukar kepada nilai kewangan.

 

Pengurus Besar RECOVER, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Awang Haji Ash'ari dalam ucapan alu-aluannya berkata, tujuan Green Depot itu adalah bagi memudahkan orang ramai untuk mengitar semula barangan mereka, di samping itu ianya juga menyokong hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menjadikan Negara Brunei Darussalam yang bersih dan hijau.

 

"Kita semua faham bahawa mengitar semula belumlah menjadi satu tabiat di negara ini disebabkan oleh kekurangan fasiliti. Orang ramai juga mungkin tidak mempunyai ruang rumah yang mencukupi untuk menyimpan barangan kitar semula sebelum mereka dihantar ke pusat kitar semula. Oleh yang demikian, kami memudahkan orang ramai untuk mengitar semula dengan menghantar barangan mereka ke Green Depot tanpa perlu mengumpul jumlah yang banyak," jelas Yang Berhormat.

 

Menurut Yang Berhormat, barangan tersebut akan ditimbang dan dicatat di dalam satu sistem dalam talian yang dapat diakses dengan mudah dan para pengguna bolehlah melihat jumlah yang telah terkumpul melalui sistem tersebut.

 

Jelasnya lagi, berat barangan yang dikumpul akan ditukar nilainya menjadi wang tunai, dan para pengguna bolehlah mengeluarkan wang tersebut apabila ianya sudah mencapai jumlah yang bersesuaian.

 

Projek tersebut akan dijalankan oleh Brunei Shell Petroleum Company Sdn Bhd (BSP) dengan sokongan daripada Daikyo Environmental Recycling Sdn Bhd, manakala sistem dalam talian dibangunkan oleh Nextacloud Technologies.

 

Turut hadir, Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Ridzuan Haji Ahmad, Penghulu dan Ketua Kampung dari Daerah Belait serta wakil dari Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe).

 

Dalam temu bual Pelita Brunei bersama Pemangku Pegawai Daerah Belait  berkata projek yang telah diungkayahkan itu merupakan satu inisiatif serta contoh terbaik untuk membentuk akhlak masyarakat bukan sahaja untuk kalangan orang dewasa, ianya juga boleh diterapkan kepada golongan kanak-kanak.

 

Katanya lagi, usaha seumpama itu harus dijadikan tauladan baik serta ikutan kepada masyarakat ke arah kebersihan serta mengekalkan kehijauan Daerah Belait.

 


Close