Manage PermissionsManage Permissions

Tinjau penetapan harga barang keperluan asas



Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi





BRUNEI MUARA, Selasa, 11 September. - Penetapan harga maksima ke atas beberapa barangan keperluan asas di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142 adalah bertujuan bagi melindungi hak dan kepentingan pengguna, dalam memastikan barangan tersebut mudah didapati dan mampu dibeli oleh semua lapisan rakyat.


Sehubungan itu, Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengadakan lawatan mengejut, bagi memastikan penetapan harga barang berkenaan dipatuhi di premis-premis perniagaan di Kampung Tanjong Bunut dan Sengkurong baru-baru ini.


Walau bagaimanapun, tidak semua barangan yang dijual di pasaran dikawal harga di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142, ini adalah bagi menggalakkan persaingan di kalangan para peniaga, melalui harga yang kompetitif, serta menjalankan perniagaan yang adil dan beretika dalam memenangi hati pelanggan. Kepentingan memaparkan tanda harga juga disuarakan semasa lawatan mengejut tersebut menerusi Jabatan Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna.


Lawatan yang diketuai oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Ekonomi dan Kewangan) di JPM, Pengiran Hajah Siti Nirmala binti Pengiran Haji Mohammad, bertujuan bagi memastikan barangan yang dikawal harga di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142, termasuk minyak masak dan susu tepung formula, dijual tidak melebihi maksima yang ditetapkan manakala, beras untuk tidak dijual melebihi harga subsidi yang ditetapkan.


Lawatan juga memastikan kepatuhan para peniaga terhadap peraturan tanda harga dan peraturan jualan murah, bagi memastikan maklumat harga barangan adalah telus dan aktiviti jualan murah dijalankan secara beretika.


Semasa lawatan mengejut tersebut, dua syarikat perniagaan telah dikenakan kompaun berjumlah BND500, bagi kesalahan menjual barangan dikawal harga melebihi harga maksima termasuk minyak masak, susu tepung dan beras manakala, dua syarikat perniagaan telah dikeluarkan notis amaran kerana tidak mempamerkan tanda harga.


Di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142, syarikat yang didapati melakukan kesalahan setelah dikeluarkan notis amaran, boleh dikenakan tawaran kompaun tidak melebihi BND1,000.


Kesalahan yang berulang boleh didakwa dan dikenakan denda maksima sebanyak BND20,000 dan penjara selama lima tahun oleh mahkamah.


Adalah menjadi tanggungjawab syarikat pembekal untuk memaklumkan kepada para peniaga runcit, mengenai penetapan harga maksima terkini, yang ditetapkan oleh JPKE.


Senarai penetapan harga maksima terkini, yang juga telah diberikan semasa lawatan, boleh dimuat-turun dari laman sesawang JPKE atau aplikasi mudahalih PenggunaBijak / SmartConsumer atau berhubung terus ke Jabatan Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna.


JPKE menetapkan harga maksima bagi jenis barangan, iaitu minyak masak, susu tepung formula, kenderaan bermotor penumpang dan bata tanah liat. Peniaga adalah bebas menentukan harga runcit yang kompetitif, asalkan tidak melebihi harga maksima yang telah ditetapkan. Barangan selain daripada yang tersenarai di dalam akta adalah ditentukan oleh para peniaga sendiri, tertakluk kepada pasaran dan faktor bekalan dan permintaan barangan.


Pengguna juga digalakkan untuk membuat perbandingan harga, bagi mendapatkan produk pada nilai terbaik. Juga ditekankan perbezaan harga di antara kedai-kedai tidaklah menjadi satu kesalahan. Walau bagaimanapun, para peniaga adalah disarankan untuk melaksanakan aktiviti perniagaan secara adil dan beretika bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang berdayatahan dan sihat di Negara Brunei Darussalam.


Di kesempatan ini, JPKE menasihatkan orang ramai untuk mengamalkan konsep 'PenggunaBijak', iaitu dengan membuat perbandingan harga dan mencari jenama alternatif yang bersesuaian, sebelum membuat sebarang pembelian bagi mendapatkan nilai harga yang terbaik. Bagi mempromosi amalan 'Pengguna Bijak', orang ramai adalah disarankan untuk mengakses aplikasi mudah alih PenggunaBijak / SmartConsumer, yang menyediakan platform perbandingan harga bagi barangan keperluan harian yang tertentu dan barangan dikawal harga; memperkenalkan undang-undang berkaitan dengan kepenggunaan.


Ia juga menjadi saluran bagi para pengguna berkongsi maklum balas dan membuat aduan, di mana JPKE akan menyalurkan aduan-aduan kepada agensi yang bertanggungjawab, sekiranya aduan tersebut di luar bidang kuasa jabatan ini.


Sebarang pertanyaan atau maklum balas, orang ramai dinasihatkan untuk berhubung terus dengan JPKE melalui aplikasi mudah alih PenggunaBijak / SmartConsumer atau melalui talian  +673 2230223 (waktu pejabat); laman sesawang : www.depd.gov.bn/cad ; e-mel kepada aduanpengguna@jpke.gov.bn atau consumercomplaint@jpke.gov.bn dan Facebook www.facebook.com / AduanPenggunaJPKE atau terus berhubung ke pejabat JPKE, iaitu Jabatan Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna, Bilik 3.06, Tingkat 3, West Wing, Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi, Blok 2A, Jalan Ong Sum Ping, BA1131, Negara Brunei Darussalam.



Close