Manage PermissionsManage Permissions

Sakamoto sekeluarga berpeluang menikmati suasana Bandarku Ceria



Berita dan Foto: Saerah Haji Abdul Ghani

 



BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 19 Ogos. - Perjalanan Keluarga Sakamoto mencatatkan kenangan paling indah apabila berpeluang menikmati suasana program Bandarku Ceria  dan menjadikannya sebagai sisipan penjelajahan mereka ketika singgah di Negara Brunei Darussalam.

 

Tatsu Sakamoto, 50 tahun  bersama isteri, Yoshika, 36 tahun dan dua orang anak lelakinya yang berusia tujuh dan lima tahun menjelajah dunia dengan berbasikal dimana perjalanan mereka tersebut merupakan projek 'The Sakamotos Great Six-Continents Adventure'.

 

Pelita Brunei sempat membuat pendekatan bersama Tatsu Sakamoto di ibu negara yang mana keluarga ini tiba di Brunei pada 11 Ogos lalu.

 

Menurut Tatsu Sakamoto, perjalanan mereka bermula di Nepal di mana mereka berbasikal di Nepal selama sebulan dan kemudian pergi ke Bhutan Himalayan Kingdom selama dua minggu dan seterusnya ke Kuching, Sarawak kemudian berbasikal ke Sibu, Miri sehingga sampai ke negara ini.

 

"Saya mengagumi keprihatinan masyarakat Brunei setibanya kami  di sini, mereka sudi menolong kami memandangkan kami mempunyai anak yang masih kecil, ada juga yang berpesan untuk tidak meneruskan perjalanan ketika cuaca panas terik dan menasihatkan agar kami minum air yang banyak, di samping ada yang memberi minuman dan makanan kepada kami. Kami tidak mendapat sokongan seperti ini di negara lain," ujarnya.

 

Beliau berkata, masyarakat di sini memahami apa yang mereka inginkan, di samping menyokong mereka untuk meneruskan penjelajahan mereka.

 

Selain itu, Tatsu Sakamoto juga mengongsikan, mereka berbasikal sejauh 20 - 30 kilometer sehari dan tujuan penjelajahannya dengan berbasikal ini adalah ingin berkongsi pengalaman yang paling berharga dengan keluarganya.

 

Sebelum ini katanya, beliau telah menjelajah New Zealand, Eropah dan diikuti Amerika Utara.

 

"Ini bukan kali pertama saya tiba di Brunei, saya sudah pernah ke negara ini pada 27 tahun yang lalu ketika saya menyertai Peserta Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP)," jelasnya lagi.

 

Ketika ditanya mengenai suasana Bandarku Ceria, beliau sangat tertarik kerana ianya dapat meningkatkan kesedaran kita terhadap kesihatan, di samping berpeluang menghabiskan masa bersama kawan dan keluarga dengan melakukan pelbagai aktiviti atau sukan.

 

Jelasnya, Bandarku Ceria sesuatu istimewa bagi Negara Brunei Darussalam dan ianya jelas dapat mengharmonikan hubungan penduduk serta rakyatnya di negara ini.


Close