AMBD galakkan pertumbuhan 'FinTech'



Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi  / Foto : Azmah Haji Ahad


BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 27 Februari. - Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) telah menyedari isu berkaitan landskap industri perkhidmatan kewangan - FinTech yang berpotensi untuk dibentuk semula.

Menurut Lembaga Perkhidmatan Kewangan (FSB), FinTech adalah teknologi inovasi kewangan menerusi model perniagaan baru, aplikasi, proses atau produk dengan kesan bahan yang berkaitan di pasaran kewangan dan institusi dan penyediaan perkhidmatan kewangan.

Pengarah Urusan AMBD, Awang Yusof bin Haji Abd. Rahman berucap demikian semasa melancarkan 'The FinTech Sandbox' yang berlangsung di Bangunan Design dan Technology, Anggerek Desa, Berakas, di sini.

Menurutnya, beberapa Syarikat FinTech dilabel sebagai 'disruptors' namun ia juga 'enablers' yang bekerjasama dengan institusi kewangan di samping menyediakan pelanggan dengan produk dan perkhidmatan baru yang lebih baik.

''Tidak kira apa pun penghujung spektrum Syarikat-syarikat FinTech yang diambil, namun peranan AMBD tetap sama, iaitu memelihara kestabilan industri kewangan, pada masa yang sama memastikan kesejahteraan pelanggan dipelihara,'' katanya.

Awang Yusof seterusnya berkata, AMBD telah mengambil beberapa inisiatif dalam memastikan kesediaannya menerajui gelombang FinTech berikutan pelbagai manfaat hasil perkongsian perkhidmatan-perkhidmatan Kewangan dan Teknologi.

Antaranya ialah mewujudkan Pejabat FinTech sebagai titik perhubungan pertama bagi mana-mana pihak yang melibatkan AMBD berkaitan sebarang isu FinTech selain berfungsi bagi penyimpanan sebarang maklumat mengenainya.

Selain itu juga, beliau juga mengumumkan mengenai pengeluaran Garis Pandu Pengawalseliaan 'Sandbox' FinTech yang mana hasil rundingan antara agensi kerajaan yang berkaitan dan industri, akan membolehkan syarikat-syarikat yang berhasrat untuk menggunakan penyelesaian mereka kepada seluruh pasaran dan permohonan kemasukan ke dalam pengawalseliaan 'Sandbox'.

AMBD jelasnya, berperanan dalam memastikan bahawa industri kewangan di negara ini adalah 'future-proofed' melalui pendekatan muzakarah yang melibatkan semua pihak berkepentingan yang berkaitan, kajian terperinci mengenai amalan terbaik antarabangsa, serta menggubal rangka kerja kawal selia dan mekanisme secara menyeluruh dan sesuai bagi negara kita.

Berikutan dengan itu tambahnya, AMBD berusaha lebih ke arah pembangunan FinTech di negara ini.

Meskipun inovasi tidak berterusan dan statik akan tetapi AMBD akan terus bekerjasama dan membantu pihak yang berkepentingan dalam memastikan industri kewangan tetap kekal relevan.

Acara diteruskan dengan pelancaran 'FinTech Office AMBD' iaitu pejabat 'online' dalam memudahcara segala perkara dan isu termasuk pertanyaan berkaitan FinTech di negara ini.

Selain itu, Garis Pandu Pengawalseliaan 'Sandbox' FinTech juga dilancarkan bagi membolehkan Syarikat-syarikat FinTech untuk menguji produk atau penyelesaian kewangan mereka dengan cara yang selamat dan cekap sambil sokongan dari segi pengawalseliaan AMBD.

Juga hadir, pihak-pihak yang berkepentingan termasuk beberapa agensi kerajaan dan pengawalseliaan yang berkaitan, syarikat-syarikat teknologi,  wakil-wakil industri kewangan dan para usahawan serta pelajar-pelajar institusi pendidikan tinggi.

Close